Pengendali KL City FC, Bojan Hodak tampak gembira dengan aksi skuadnya sambil menegaskan rentak sembilan aksi tanpa kalah adalah sesuatu yang menakjubkan.
Kali terakhir The City Boys tewas adalah pada April lalu, kecundang 2-3 kepada Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman. Dan untuk rekod, kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC ini juga adalah tiga mata pertama mereka di laman lawan, musim ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur itu, babak pertama berakhir dengan tanpa jaringan dan Sri Pahang dilihat cuba bangkit ketika perlawanan menuju ke penghujung babak pertama, namun mereka tampak gagal melakukannya.
Pelawat memiliki deretan peluang, namun penjaga gol lawan, Daniel Wafiuddin tampil yakin untuk menafikannya. Namun, segalanya mula berubah di babak kedua.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Romel Morales yang masih belum berjaya untuk meledak jaringan ketika tampil di posisi penyerang, akhirnya berjaya meledak jaringan pada minit ke-49 hasil gerakan yang dimulakannya bersama J. Partiban.
49' Gol | KL City kini berada di depan hasil jaringan Romel Morales!@OfficialPahang 0-1 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/ce4uOPbbOm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 20, 2021
Hantaran Partiban berjaya dihadang benteng sebelum Paulo Josue merampas dan memberikannya kepada Romel Morales yang memperdaya dua benteng lawan sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Daniel Wafiuddin di gawang.
Beliau sekali lagi telah melepaskan gol buat pelawat pada minit ke-70 apabila gagal menangkap hantaran lintang rendah Partiban yang berjaya disambut Zhafri Yahya.
70' Gol | "Tap in" Zhafri Yahya menggandakan kedudukan pasukan pelawat!@OfficialPahang 0-2 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/x9tZcNAhuZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 20, 2021
“Saya gembira kerana ini merupakan kemenangan pertama kami di tempat lawan. Dan ini kemenangan kedua berturut-turut tanpa bolos,” ulas Bojan Hodak di sidang media.
“Saya rasa kami telah bermain sangat baik. Kami miliki tiga peluang yang disia-siakan hingga saya rasa kami akan lalui sebagaimana aksi terdahulu [keputusan seri]. Tetapi di babak kedua kami berjaya jaringkan dua gol. Ia tetap aksi yang sengit,” tegasnya.
“Seperti yang pernah saya katakan, kami akan semakin baik aksi demi aksi. Dan kini, ia sangat menakjubkan buat kelab dengan sembilan aksi tanpa kalah,” ujar Bojan Hodak.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS19#LigaSuper2021 pic.twitter.com/rIlTLoHlYq
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 20, 2021
Dengan rekod itu, mereka kini telah menyamai rekod yang dilakar oleh dua pasukan musim ini iaitu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penang FC – sembilan aksi tanpa kalah.
KL City kini berada di kedudukan ke-6 liga dengan 27 mata, dua mata di belakang Kedah dan Selangor FC serta tidak jauh di belakang Penang FC yang berada di tangga ke-3 dengan 31 mata. Mereka masih berpeluang untuk melonjak ke posisi ketiga liga.
The City Boys akan pulang ke laman sendiri untuk dua perlawanan berturut-turut, berdepan Terengganu FC dan Kedah dengan misi tidak kalah untuk dua rekod – tanpa kalah 11 perlawanan berturut-turut dan tanpa kalah di laman sendiri sepanjang musim.