‘Boikot Secara Terpilih’ – Merungkai Perbezaan Layanan Barat Terhadap Rusia Dan Israel Dalam Isu Jenayah Perang

Rusia Israel

Pada 20 Mac lalu, ribuan rakyat Indonesia berarak secara aman di Jakarta untuk memprotes penyertaan Israel di kejohanan Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20) yang bakal bermula pada 30 Mei hingga 11 Jun di negara tersebut.

Meskipun mendapat bantahan, pemerintah Indonesia memberikan justifikasi bahawa polisi sukan antarabangsa tidak membenarkan bola sepak dicampur dengan isu politik.

Adakah boikot dalam sukan ini perkara baharu? Atau sebenarnya usaha boikot sesebuah negara ini dilakukan secara selektif dan memerlukan ‘restu’ daripada pihak barat?

‘Rela Dilucut Hak Penganjuran Kejohanan Antarabangsa’ – Ketegasan Malaysia Halang Kemasukan Atlet Israel Wajar Dicontohi Indonesia

Israel dan Rusia

Sejak pencerobohan ke atas Ukraine, pasukan dan atlet dari Rusia telah dihalang daripada menyertai pelbagai acara sukan antarabangsa.

Skuad bola sepak kebangsaan Rusia telah dinafikan hak untuk beraksi di pusingan playoff bagi kelayakan Piala Dunia 2022 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA). Pasukan wanita pula telah disingkirkan daripada menyertai kejohanan Euro Wanita.

Begitu juga dengan nasib kelab-kelab bola sepak Rusia di mana Spartak Moscow disingkirkan daripada pusingan 16 Liga Europa.

Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut bertindak menamatkan hubungan dengan Gazprom, syarikat tenaga gergasi milik Rusia yang merupakan penaja utama bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Ini menunjukkan bahawa tindakan FIFA dan UEFA itu bukanlah perkara yang asing dalam sejarah sukan. TIndakan memboikot pasukan yang terpalit dengan jenayah perang dan isu kemanusiaan bukanlah perkara baharu.

Malaysia sendiri pernah bersama-sama dunia barat memboikot Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 meskipun pasukan bola sepak kebangsaan telah mencatat sejarah layak ke temasya berkenaan secara merit buat kali kedua.

Pendirian tersebut dibuat bagi membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan setahun sebelum itu.

Semua tindakan ini ternyata bertentangan dengan ‘prinsip’ barat yang kononnya sukan itu tidak boleh bercampur aduk dengan politik. Ternyata pihak barat sendiri tidak memisahkannya dan menjadi juara dalam memberi tekanan kepada negara tertentu yang tidak sealiran dengan mereka.

Tetapi apabila Malaysia mengambil pendirian untuk memboikot Israel dengan cara menghalang mana-mana atlet daripada memasuki negara ini, pihak Barat telah melabel Malaysia sebagai negara anti-semitik.

Sedangkan Malaysia secara konsisten dari dahulu sehingga kini menolak kewujudan Israel atas prinsip keadilan dan kemanusian kerana ‘negara haram’ itu secara jelas telah melanggar dan menghina pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketegasan Malaysia ini perlu dibayar dengan kehilangan hak penganjuran bagi beberapa kejohanan antarabangsa. Yang terdekat adalah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia lelaki 2021.

Keberkesanan boikot

Memetik tulisan Urwah Saari, seorang aktivis sosial di kolum Malaysiakini, beliau mengambil contoh bagaimana dunia pernah menyaksikan robohnya dasar Apartheid di Afrika Selatan disebabkan usaha boikot oleh masyarakat antarabangsa terhadap negara tersebut.

Dasar Apartheid – yang bermaksud ‘apartness’ dalam bahasa Afrikaan – secara sistematik mengasingkan golongan kulit putih dan warna kulit lain dalam seluruh aspek kenegaraan dan kehidupan.

Sukan juga tidak terlepas daripada pengasingan ini. Jenis sukan dan pemainnya diasingkan mengikut warna kulit.

Warga kulit putih diberikan kemudahan dan peluang yang jauh ke hadapan berbanding warga berlainan warna kulit, lebih-lebih lagi warga kulit hitam.

Rugbi dan kriket sebagai contoh, didominasi warga kulit putih. Bola sepak, walaupun majoriti dimainkan oleh majoriti kulit hitam, kemudahan sukan yang diterima jauh berbeza berbanding kulit putih.

Hubungan sukan antarabangsa tidak memungkinkan rejim Apartheid meneruskan polisi diskriminasi ini tanpa tentangan. Pendedahan media antarabangsa di penghujung tahun 1950an telah menggerakkan usaha-usaha kesedaran dan kempen boikot.

Pada tahun 1956, Anti-Apartheid Movement (AAM) yang berpangkalan di London memulakan kempen boikot barangan Afrika Selatan dan akhirnya menjadi sebuah gerakan utama dalam menentang sistem Apartheid.

Usaha boikot sukan peringkat antarabangsa mula mendapat perhatian. Pendekatan pertama melalui menghalang penyertaan dalam acara sukan antarabangsa dengan Afrika Selatan.

IOC pada tahun 1964 menarik semula jemputan ke Sukan Olimpik daripada Afrika Selatan berikutan keengganan rejim Apartheid menghantar pasukan bercampur warna kulit.

Perlawanan tradisi yang bersifat berkunjung (toured) antara rugbi Springbok dan All Blacks, menghadapi tentangan masyarakat sivil di New Zealand pada 1981 apabila satu kempen boikot yang digerakkan oleh kumpulan Halt All Racist Tours.

Pendekatan kedua ialah melalui konvensyen tidak menggalakkan hubungan sukan dengan rejim Apartheid; yang membawa implikasi moral bagi mereka yang melanggarnya.

Antaranya International Convention against Apartheid in Sports yang diluluskan oleh PBB pada tahun 1985 dan Gleneagles Agreement pada tahun 1977 antara negara-negara ahli Komanwel.

IOC juga menerima Declaration against Apartheid in sport pada 1988 sebagai pengasingan penuh sukan Apartheid daripada dunia sukan.

Zionis Israel dan Apartheid berkongsi identiti penindasan yang sama. Dunia jangan hipokrit.

Boikot sukan telah menyumbang kepada lumpuhnya rejim Apartheid Afrika Selatan, mengapa tidak boikot sukan secara global juga mampu menjatuhkan rejim Zionis Israel?

Apa yang dibentangkan adalah fakta bagaimana dunia berupaya menghukum negara yang mengamalkan dasar yang menindas dan mencengkam nilai manusiawi. Maka itulah yang sepatutnya layanan yang harus diberikan kepada Israel.

Faktor geopolitik

Lihat juga bagaimana barat boleh ‘dibeli’ dengan kekayaan sesebuah negara seperti Arab Saudi yang berjaya mengambil alih Newcastle United menerusi sebuah Konsortium Dana Pelaburan Awam (PIF) dengan nilai £300 juta.

Berselindung di bawah terma yang kononnya tidak dibayangi oleh kerajaan Arab Saudi, perlantikan Yasir Al-Rumayyan selaku gabernor dan ketua pentadbir kepada PIF dianggap hanyalah sekadar ‘boneka’ semata-mata.

Hakikatnya dunia mengetahui individu penting di belakang adalah Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, individu yang bertanggungjawab secara langsung dengan serangan ke atas Yaman yang telah meragut lebih 250 ribu nyawa di negara selatan semenanjung Arab tersebut.

Malah Mohammed bin Salman turut terpalit dengan pelbagai isu kemanusiaan seperti penahanan aktivis dan pembunuhan kolumnis The Washington Post warga Arab Saudi, Jamal Kashoggi beberapa tahun lalu,

Kashoggi, seorang kolumnis The Washington Post warga Arab Saudi yang mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat telah pergi ke kedutaan Saudi di Instanbul pada 2 Oktober 2018 untuk menguruskan dokumen berkenaan urusan perkahwinan dengan tunangnya, Hatice Cengiz, seorang warga Turki.

Bagaimanapun, wartawan berusia 59 tahun pada ketika itu dipercayai diseksa dan dibunuh secara terancang dalam bangunan kedutaan tersebut dan mayatnya yang tidak dijumpai sehingga hari ini dikatakan telah dihancurkan.

‘Hipokrasi Barat’ – Kononnya Simpati Dengan Ukraine, Tapi Tak Peduli ‘Pembantaian’ Arab Saudi Ke Atas Yaman

Dalam masa yang sama, kerajaan United Kingdom (UK) dan pengurusan Premier League telah mengenakan pelbagai cara untuk ‘menghalau’ pemilik Chelsea, Roman Abramovich disebabkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Tindakan tersebut kononnya disebabkan hartawan Rusia itu mempunyai hubungan baik dengan presiden negaranya Vladimir Putin dan dikritik kerana tidak memberikan sebarang kenyataan tentang apa yang sedang berlaku di Ukraine, sekaligus mengakhiri era Abramovich selama hampir 20 tahun di Stamford Bridge.

Penutup

Ini adalah bukti tengang sikap pilih kasih pihak barat, apatah lagi melibatkan sebuah negara seperti Amerika Syarikat dan Britain yang kononnya mementingkan hak asasi manusia.

Sedangkan dunia mengetahui barat mempunyai hubungan yang erat dengan Arab Saudi demi kepentingan dan keselamatan industri minyak.

Begitu juga dengan hubungan barat dan Israel yang berteraskan kepentingan ekonomi. Negara ‘haram’ tersebut tertegak hasil daripada perjanjian dan deklarasi yang mengiktiraf kewujudannya dan menghujam nasib rakyat Palestin.

Situasi geopolitik ini jelas menunjukkan bahawa barat bersikap selektif dalam menjalankan usaha boikot ke atas sesuatu negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN