Quantcast

BERITA

‘Blue Girl’: Kematian Tragis Seorang Penyokong Bola Sepak Wanita Di Iran

Seorang penyokong bola sepak wanita warga Iran yang didakwa atas kesalahan berpakaian seperti lelaki untuk memasuki stadium telah meninggal dunia selepas membakar diri, seminggu yang lalu.

Sahar Khodayari, berusia 29 tahun telah membakar dirinya minggu lalu di depan mahkamah di Tehran selepas mengetahui dirinya berdepan dengan hukuman penjara dua tahun atas kesalahan tersebut. Beliau disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu.

Khodayari telah dikejarkan ke hospital berdekatan dengan melecur 90 peratus dan kerosakan terhadap paru-parunya. Beliau telah ditahan sejak Mac lalu selepas cuba memasuki Stadium Azadi untuk menyaksikan kelabnya, Esteghlal FC menentang kelab UAE, Al Ain di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Di Iran, adalah menjadi kesalahan bagi wanita untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang melibatkan lelaki di stadium biarpun tiada undang-undang khusus mengenainya. Larangan dipercayai bermula sejak Revolusi Islam di Iran sekitar tahun 1979.

Pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah kerana berpakaian seperti lelaki dan tidak berpakaian mengikut etika sebagai seorang muslimah – iaitu tidak bertudung serta tidak menutup aurat.

Khodayari terkenal dengan gelaran ‘Blue Girl’ di kalangan warganet dan pengguna sosial media warga Iran dek kerana kelab yang disokongnya, Esteghlal FC memakai jersi berwarna biru.

Beberapa kelab termasuk Esteghlal FC telah menyatakan kesedihan dengan perkhabaran tersebut serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Khodayari melalui laman sosial masing-masing.

Lagenda bola sepak Iran, Ali Karimi turut serta di dalam posting di Instagramnya menyatakan sokongan terhadap ‘Blue Girl’ selain turut mengajak 4.5 juta pengikutnya untuk memboikot stadium.

“Wanita di tanah kita [Iran] adalah lebih baik berbanding lelaki,” memetik kenyataan di laman Instagramnya yang mengandungi gambar seorang wanita dengan gambaran bola di hatinya.

Biarpun telah lama Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) berusaha untuk mendesak Iran membenarkan wanita untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak termasuk memberikan kata akhir akan digantung – Iran masih dengan ketetapan mereka.

Ketika ini, Iran hanya membenarkan wanita untuk ke stadium bagi perlawanan-perlawanan terpilih yang hanya melibatkan skuad kebangsaan. Tahun lalu, wanita berpeluang menyaksikan aksi di Piala Dunia menerusi siaran langsung di stadium di Tehran.

Dalam pada itu, FIFA mahukan perkara ini diselesaikan sebelum 10 Oktober menjelang aksi pertama Iran dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Kemboja di laman sendiri.

Kredit Featured Image: Daily Star/Twitter