Quantcast

BERITA

Birmingham City Nyatakan Persetujuan Kongsi Stadium Dengan Coventry City

Berkongsi stadium bukanlah perkara baharu dalam bola sepak Inggeris. Ada masanya keadaan mendesak yang memaksa kelab mencari laman pasukan lain untuk ditumpang.

Coventry City, sebuah mantan kelab Liga Perdana Inggeris terpaksa menumpang sekali lagi di sebuah stadium lain. Kali ini, mereka menumpang St. Andrew’s di mana Birmingham City bermain selaku laman sendiri.

Musim 2019/20

Coventry yang digelar Sky Blues itu telah mengumumkan perkara itu pada minggu lepas. Ia telah menarik perhatian ramai peminat dan penyokong kelab itu.

Meskipun keputusan itu sukar diterima pihak berkaitan, sekurang-kurangnya ia telah menyelamatkan mereka daripada dibuang daripada English Football League (EFL).

Pengurusan Coventry sendiri sudah berusaha sebaik mungkin untuk cuba kekal di Ricoh Arena, stadium yang digunakan mereka pada sebelum ini. Tetapi, usaha itu gagal.

Kelab itu juga turut berterima kasih kepada Birmingham City kerana sudi memberikan peluang menggunakan St Andrew’s pada musim hadapan.

Pada musim hadapan, Birmingham beraksi dalam saingan EFL Championship manakala Coventry bersaing dalam EFL League One.

Diselar

Coventry City goalkeeper Lee Burge (left) on the parade lap after the match Coventry City v Shrewsbury Town – Sky Bet League One – Ricoh Arena 28-04-2019 . (Photo by Simon Cooper/EMPICS/PA Images via Getty Images)

Ada penyokong Coventry menyelar tindakan kelab itu kerana sanggup menumpang stadium lain. Malah, ada yang tidak mahu memperbaharui pas semusim.

Coventry sudah mengumumkan harga pas semusim untuk penyokong. Namun begitu, ada laporan mengatakan rombakan telah dibuat mengenai harga pas semusim itu mengikut kategori.

Ricoh Arena sebelum ini telah dijual di bawah harga kepada sebuah kelab ragbi di negara itu. Tetapi, pemilik Coventry menyatakan jualan itu telah menjejaskan operasi mereka dan menimbulkan konflik perundangan dengan Majlis Bandaraya Coventry.

Pada April lalu, Mahkamah Britain telah memutuskan rayuan pemilik Coventry itu ditolak . Difahamkan mereka telah mengheret badan perundangan tertinggi Kesatuan Eropah untuk memberikan keputusan mengenai kes ini.

Pernah kongsi

Sebelum ini, Coventry pernah menumpang di Sixfields Stadium, kelab di mana Northampton Town bermain. Coventry bermain di situ sewaktu musim 2013/14.

Pada ketika itu, sekiranya ada perlawanan laman sendiri di Sixfields Stadium, salah satu kelab akan bermain pada hari Ahad. Berbeza daripada kebiasaan di mana perlawanan diadakan pada hari Sabtu.

Sky Blues kali terakhir bermain di liga utama England sewaktu musim 2000/01. Sejak itu, Coventry hilang di mata dunia.