Semuanya serba tak menjadi buat Arsenal dalam Premier League.
Ketika Manchester United, Chelsea dan Manchester City semuanya sedang merosot (berbanding musim lepas), Arsenal adalah satu-satunya pasukan ‘top 4’ yang dilihat mempunyai pemain dan sumber yang besar untuk menjuarai liga pada musim ini.
Tetapi selepas tewas 2-3 kepada skuad muda Manchester United dan tewas 1-2 di halaman sendiri kepada Swansea yang kehilangan pengurus mereka, prospek Arsenal memenangi liga nampak semakin suram.
Alexis kritik Arsenal
Untuk menambah garam ke luka, Alexis Sanchez pula mengkritik rakan-rakan sepasukannya yang ‘tidak menunjukkan kesungguhan dan tidak percaya mereka boleh jadi juara’ (sumber).
Media pula menyalahkan pemain Arsenal yang ‘kuncup apabila berdepan tekanan’. Masakan tidak, setiap kali Arsenal mempunyai peluang untuk menjarakkan diri dengan pasukan lain, mereka gagal menang.
Andy Murray beri nasihat
Bercakap mengenai penurunan prestasi Arsenal, bintang tenis Andy Murray tahu apa yang sedang dihadapi oleh pemain-pemain Arsenal.
“Saya pernah melaluinya selama beberapa tahun.”
Murray yang juga merupakan penyokong Arsenal bercakap mengenai kegagalannya menjuarai beberapa Grand Slams walaupun sudah melangkah ke final, sebelum bergelar juara US Open pada 2012 dan Wimbledon pada 2013.
“Mengatasi (kegagalan menangani tekanan untuk menang) memang susah. Tapi satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan bekerja keras.”
“Kalau anda tak bekerja keras, anda takkan jadi juara. Anda juga perlu sentiasa percaya, anda boleh jadi juara. Aspek mentaliti yang membezakan juara dengan yang lain-lain”
Berdasarkan komen Murray dan Alexis, Arsenal perlu percaya mereka boleh untuk menjadi juara. Murray kemudiannya menambah:
“Saya sendiri sukar untuk mengatasi (tekanan untuk menang). Dengan setiap final yang anda kalah, orang akan mula mempersoalkan kebolehan anda. Kemudian anda pula akan mempersoalkan kebolehan diri sendiri.”
“Ianya sukar. Anda harus kuat dari segi mentaliti dan dapatkan bantuan terbaik daripada orang lain.”
Bercakap mengenai Premier League, Murray mengaku beliau teruja melihat siapa yang akan menjuarai liga pada musim ini.
“Banyak pasukan besar bergelut ketika ini. Sebagai peminat bola sepak, saya suka melihat Leicester mendahului liga selepas 28 perlawanan.”
“Saya harap Premier League akan terus mempamerkan kejutan sebegitu walaupun sebenarnya saya mahu Arsenal sentiasa menang. Ini kerana keputusan Arsenal sejak 2 minggu lepas agak sukar untuk saya terima.”
Arsenal akan melawat White Hart Lane untuk bertemu dengan pesaing kejuaraan liga dan musuh ketat mereka, Tottenham Hotspur dalam perlawanan hujung minggu ini.
Satu lagi kekalahan mungkin akan menyebabkan Arsenal jatuh ke tangga ke-4 liga.
Baca juga: Sejarah Permusuhan Arsenal Dengan Tottenham Hotspurs