Saingan AFC Champions League (ACL) musim ini nampaknya memberi sinar cukup positif buat para pemain tempatan Malaysia, khususnya dengan membabitkan bakat-bakat muda berkualiti.
Untuk saingan musim ini, Malaysia mempertaruhkan dua kelab untuk bersaing di kejohanan ACL Elite serta ACL Two dengan masing-masing mencipta sensasi cukup menyakinkan.
Untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka beraksi di pentas tertinggi Asia iaitu saingan ACL Elite dengan mencatat rekod satu kemenangan, satu seri, serta satu kekalahan ketika bertemu Gwangju FC dari Korea Selatan.
Pasukan tersebut setakat ini telah pun mencipta sensasi bersama dua pemain tempatan berkualiti iaitu bintang muda, Arif Aiman Hanapi (3 gol) serta Feroz Baharudin (1 gol).
Tumpuan sudah tentu terarah kepada Arif yang terus bersinar dalam saingan ACLE yang meledak tiga gol daripada tiga penampilan dalam saingan tersebut.
Arif Aiman Pintas Joao Cancelo Selaku 5 Penjaring Terbanyak ACL Elite
Walaupun tidak dibawa turun beraksi lagi dalam saingan ACLE, Harimau Selatan turut menyenaraikan bintang muda berpotensi tinggi iaitu Pavithran Gunalan (19 tahun).
Terarah kepada Selangor pula, pasukan ini tampil menyerlah bersama barisan bintang muda yang berpotensi tinggi terutama sekali Harith Haiqal, Nooa Laine bersama Zikri Khalili.
Ketiga pemain tersebut menjadi antara pilihan utama Nidzam Jamil kini di pentas ACL 2 selepas mengharungi tiga perlawanan bersama aksi menyakinkan.
Dua kemenangan serta satu keputusan seri diraih pasukan tersebut selain menampilkan konsistensi menyakinkan untuk mereka beraksi di pentas Asia.
Malah setakat ini Harith Haiqal sudah pun membuka akaun jaringan sulung beliau di pentas Asia selain menggalas tanggungjawab begitu baik selaku kapten pasukan.
Di bangku simpanan juga menyaksikan beberapa lagi pemain muda kelab tersebut turut disenaraikan oleh Nidzam dan menunggu masa sahaja untuk memberi impak positif kepada pasukan.
ACL 2: Harith Haiqal Wajar Dijulang Sebagai Bintang Berharga Selangor
Melihat kepada perkembangan positif ini, ianya jelas memberi kelebihan buat skuad pembangunan Harimau Malaya bawah kendalian Juan Torres Garrido atau pelapis baharu pasukan senior kebangsaan suatu hari nanti.
Tatkala Malaysia dilihat mula membuka peluang buat pemain warisan, bakat-bakat muda tempatan juga tidak memberi peluang untuk turut bersinar bersama kelab masing-masing.