Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Fergus Tierney secara rasminya kini menjadi rekrut terbaharu buat salah satu kelab ternama di Thailand iaitu Chonburi FC bagi saingan musim hadapan.
Kenyataan itu dikongsikan sendiri menerusi salah seorang pengamal media tempatan Thailand iaitu talao di X dengan mempamerkan foto pemain muda tersebut menyarung jersi Chonburi FC.
🚨 BREAKING
🇲🇾 Fergus Tierney ➡️ Chonburi FC 🦈 pic.twitter.com/4rglPdLsAW
— Ta L. (@talao_) July 26, 2024
Selain itu, laman rasmi Chonburi sendiri turut mengesahkan kehadiran Tierney menerusi majlis pengenalan pemain serta jersi baharu mereka untuk persaingan akan datang tidak lama sahaja lagi.
Nama Tierney bukan lagi suatu yang asing buat para peminat bola sepak tempatan, selepas dirinya tampil begitu menyerlah buat JDT II di kejohanan MFL musim lalu.
Sepanjang bersama JDT II, kualiti permainan ditampilkan oleh Tierney sangat menonjol sehingga nama beliau dipanggil untuk menyertai kem kebangsaan ke pentas antarabangsa.
Malah, ketajaman beliau juga telah pun dibuktikan di pentas antarabangsa apabila beliau menjadi salah satu tonggak buat skuad pembangunan Harimau Malaya.
Pada usia 21 tahun, Tierney sudah pun beraksi sebanyak 12 perlawanan di pentas antarabangsa bersama skuad pembangunan Malaysia termasuk dalam kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar lalu.
Sepanjang bersama skuad kebangsaan, Tierney sudah pun meledak tiga gol secara keseluruhan serta mempamerkan impak cukup besar di posisi utama serangan.
Kelebihan Tierney bukan sahaja terarah kepada kualiti penyudah, tetapi kemampuan dirinya untuk mengawal bola serta bijak mencipta umpanan berbahaya buat rakan sepasukan lain.
Malah, kelebihan dirinya itu juga dianggap segelintir besar peminat tempatan sebagai calon pengganti terbaik buat penyerang senior Harimau Malaya iaitu Darren Lok pada masa hadapan.
Memiliki ketinggian 1.86 meter serta susuk tubuh yang tegap, pastinya Tierney bakal menggunakan aset tersebut sepanjang di saingan Thai League 2 musim hadapan bersama Chonburi.
Pada usia masih muda, sudah tentu Tierney bakal mempelajari banyak perkara baharu terutama sekali mengenai perbezaan corak permainan di Thailand serta Malaysia selain perlu cepat menyesuaikan diri.
Sehingga kini kami di Semuanya BOLA masih belum mendapat maklumat jelas mengenai status Tierney bersama Chonburi FC, jika beliau sekadar membawa status pinjaman daripada JDT atau kekal terus bersama kelab itu.
Pandangan anda?