Pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini beraksi untuk Persib Bandung, Levy Madinda Clement boleh dianggap berada pada musim terbaik beliau dalam saingan Liga Indonesia bersama pasukan tersebut bawah kendalian Bojan Hodak.
Dibawa masuk sejak awal musim selaku status pinjaman, Madinda tidak mengambil masa yang lama untuk memberi impak cukup besar buat pasukan tersebut khususnya menerusi kelincahan serta ketajamannya di hadapan gawang gol.
“Umpama Mbida Messi”- Aksi Sulung Levy Madinda Dipuji Penyokong Persib Bandung
Malah, pemain kelahiran Gabon ini juga berjaya membantu pasukan tersebut untuk tampil lebih baik pada saingan liga tersebut selepas Persib bermula dengan perlahan sejak awal musim sehingga ada rombakan kecil terpaksa dibuat kembali.
Daripada tujuh perlawanan liga disertai Madinda setakat ini, beliau telah pun menyumbang satu gol serta memberi variasi gerakan untuk menjana serangan buat pasukan.
Terbaharu, aksi Madinda paling mencuri tumpuan ketika Persib mudah mengatasi Persikabo 1973 menerusi keputusan penuh 2-0 untuk terus mendapat pujian ramai penyokong mereka.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, kelibat Madinda sering memberi kesukaran buat lawan untuk menghalang gerakan lincahnya serta beliau sangat kreatif membuka ruang buat rakan sepasukan lain mendapatkan jaringan.
Jelas pemain tengah kreatif itu, beliau sudah pun memasang tekad sejak awal penyertaannya bersama Persib selain ingin menikmati musim terbaik di Indonesia.
Malah, Madinda juga mengucapkan terima kasih serta menghargai usaha para penyokong yang hadi memberi sorakan motivasi kepada beliau sejak hari pertama dirinya di sana.
“Sejak hari pertama saya tiba di sini, saya sudah menyatakan untuk memberikan segalanya yang baik serta mengeluarkan sepenuhnya potensi dalam diri untuk menikmati setiap perlawanan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih sepenuhnya kepada penyokong yang hadir memberi sokongan sejak hari pertama diri ini tiba di Indonesia dan mereka menganggap saya seolah keluarga.
“Disebabkan itu, saya sendiri perlu memberi aksi yang berkualiti tinggi buat pasukan supaya para penyokong terus berpuas hati,” jelas Madinda menerusi Bola.com.
Bermain simple tapi pasti. Levy Madinda 🪄#PERSIB pic.twitter.com/AOo1CW8JKj
— PERSIB (@persib) September 17, 2023
Untuk siri perlawanan akan datang, Madinda ingin mengekalkan momentum terbaik beliau supaya keputusan positif terus diraih bagi meneruskan persaingan dalam liga musim ini.
“Bagi saya, semua perlawanan dihadapi umpama final walaupun kami akan bertandang ke gelanggang lawan, namun mentaliti serta misi kami tetap serupa,” ulas Madinda lagi.