Demam Piala Dunia 2018 semakin menghampiri kita. Peminat bola sepak sudah sedia maklum negara manakah yang menjadi wakil Afrika untuk kejohanan ini. Sudah pasti ada dari kalangan kita tidak sabar menonton aksi kehebatan bintang Afrika ini.
Harus diingat, Piala Dunia 2018 kali ini tidak menampilkan beberapa negara seperti Ivory Coast, Cameroon dan Algeria. Ini bermakna ada pasukan lain membuat penampilan setelah menghilang beberapa edisi.
Tunisia
Penyerang kelab Al-Duhail dalam saingan Liga Qatar, Youssef Msakni boleh dijadikan tunjang utama Tunisia. Semasa kempen kelayakan, beliau pernah menjaringkan hatrik ketika menewaskan Guinea 4-1.
Malah, ada sumber mengatakan nama Msakni telah masuk ke dalam radar kelab terkemuka Eropah. Difahamkan kelab itu ialah Arsenal, West Ham United dan Olympique Marseille.
Pemain Tunisia lain yang juga menjadi tumpuan, Wahbi Khazri (Rennes) dan Anis Ben Hatira (Esperance Tunis).
Nigeria
Pasukan ini memanfaatkan agak ramai pemain yang beraksi dalam saingan liga Inggeris. Nigeria mempunyai penyerang yang sedang meningkat, Kelechi Iheanacho yang kini beraksi bersama Leicester.
Victor Moses juga menjadi anggota penting dalam kemaraan Nigeria untuk kempen kelayakan kali ini. Selain itu, mereka juga mempunyai pemain seperti John Obi Mikel dan Odion Ighalo.
Maghribi
Mereka beraksi kali terakhir di saingan ini ialah sewaktu kejohanan 1998 di Perancis. Setelah 20 tahun menyepi, mereka muncul semula sebagai pasukan terkemuka Afrika Utara.
Khalid Boutaib, penyerang bagi kelab Yeni Matalayspor di Turki telah menjadi penyumbang utama gol Maghribi. 4 golnya menjadi inspirasi buat rakan-rakan untuk berjaya.
Hakim Ziyech juga tidak ketinggalan menempa nama untuk Maghribi. Hakim kini beraksi bersama kelab ulung Belanda, Ajax Amsterdam. Malah, Hakim sendiri sanggup menolak pelawaan mewakili Belanda demi Maghribi.
Senegal
Anda masih ingat tarian mengelilingi baju pada Piala Dunia 2002? Jika masih ingat, tanda anda mungkin merindui kelibat Senegal!
Senegal mempertaruhkan Diafra Sakho sebagai sandaran utama pasukan. Pemain West Ham United ini menyumbangkan gol penting semasa kelayakan terutamanya ketika dua perlawanan terakhir untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2018
Sadio Mane juga turut memainkan peranan sebagai anggota penting negara Afrika Barat itu. Begitu juga Moussa Sow yang merupakan pemain Shabab al-Ahli di UAE.
Mesir
Tidak salah lagi, nama Mesir sudah sebati dengan Mohamed Salah. Beliau mencuri tumpuan dengan mencatat 5 gol semasa aksi kelayakan tempoh hari. Malah, beliau menjadi penjaring gol kemenangan sewaktu Mesir mengalahkan Congo.
Tetapi, Mesir ada juga senjata seperti Abdallah Said, pemain tengah Al Ahly Mesir. Selain itu, Ramadan Sobhi dan Mohamed Elneny boleh diharapkan kerana mempunyai pengalaman di liga Inggeris. Takkanlah nak harapkan Salah seorang sahaja?
Penutup
Masih terlalu awal mengatakan siapakah pemain Afrika yang benar-benar bakal menyinar dalam Piala Dunia 2018. Namun begitu, harus diingat kejohanan masih tinggal beberapa bulan lagi.
Jurulatih 5 negara tersebut sudah berkira-kira untuk mengekalkan siapakah tonggak utama pasukan. Atau adakah akan ada rombakan yang menyaksikan penyingkiran. Begitu juga dengan muka baru yang tidak dijangka.
Pasukan Afrika manakah kegemaran anda untuk edisi kali ini? Nyatakan sokongan anda dan ramalkan sejauh mana mereka akan mara!