Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengecam sikap tidak professional pemainnya yang dilihat seolah-olah memburukkan majikan mereka apabila mengadu pasal gaji di media sosial masing-masing.
Beliau menegaskan KAFA mungkin tidak akan membayar gaji mana-mana pemain skuad itu sekiranya mereka terus mengadu atau bercakap isu tuntutan gaji di laman media sosial.
Bibi menjelaskan kepada Kosmo, pemain tersebut sepatutnya datang sendiri ke pejabat KAFA dan bertemu secara bersemuka dengannya bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Pemain patut datang berurusan dengan KAFA dan bukannya menggunakan media, kecuali mereka sengaja hendak mencetuskan persepsi yang tidak bagus kepada majikan.
“Sebagai pemain, mereka perlu menghormati kontrak kerana masih mempunyai majikan,” katanya kepada Kosmo!
Media tempatan sebelum ini melaporkan dua bekas tonggak utama Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan Nor Farhan Muhammad menafikan khabar angin bahawa mereka mahu mengemukakan saman terhadap KAFA berhubung isu tuntutan gaji.
Bibi Ramjani menegaskan adalah tidak wajar meletakkan kesalahan itu kepada KAFA semata-mata, sebaliknya pemain perlu berjuang demi pasukan dan penyokong.
“Cuba tanya pada diri pemain terbabit, adakah mereka bermain untuk gaji semata-mata sedangkan mereka tahu pengorbanan yang telah dilakukan oleh KAFA.
“Saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pemain yang masih belum menerima gaji,” ujarnya.
Menurut laporan daripada Kosmo tersebut, KAFA telah melunaskan tuntutan hutang membabitkan dua bekas pemain import musim 2016 iaitu Jonathan Lucca dan Dramane Troare serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic berjumlah RM2.6 juta.
Selain itu, Kelantan turut diarahkan membayar tuntutan tunggakan gaji sebanyak RM100,000 oleh Brendan Gan Sen Ling dan Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa (RM55,000)
Bibi Ramjani turut mendedahkan wujudnya satu gerakan untuk menuntut hutang lama sehingga memberi tekanan kepada KAFA untuk mendapatkan lesen beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
“Ada yang datang kepada saya dan menunjukkan mesej (WhatsApp) individu yang cuba menghasut pemain untuk menuntut hutang. Jadi, rasanya tidak perlu wujudkan benda seperti ini sebab saya ingin orang tampil untuk membantu menyelesaikan kemelut KAFA dan bukan membantu menjadi parasit,” katanya.