Pada tengah hari semalam, Nadi Arena melaporkan pengendali pasukan Kelantan, Fajr Ibrahim meluahkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih selepas gagal mencatat kemenangan dalam 3 perlawanan Liga Super.
Mengulas mengenai isu perletakan jawatan jurulatih dari Syria itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan tampil menjelaskan, beliau ada menemui Fajr bagi meluahkan rasa kecewanya di atas aksi hambar dua tonggak pasukan, Mohammed Ghaddar dan Mohd Farisham Ismail.
“Semalam saya jumpa jurulatih lepas perlawanan untuk bertanyakan pasal Ghaddar dengan Farisham saja. Saya sebenarnya kecewa dengan prestasi Ghaddar.
“Saya juga ada menyuarakan supaya berlaku adil kepada semua pemain. Mungkin beliau sebagai jurulatih profesional merasakan lebih baik beliau meletak jawatan bila tiga aksi dengan seri satu dan dua kekalahan.
“Tapi bagi saya, bila keadaan ‘stress’ atau sesuatu di luar jangka mungkin ada terkeluar kenyataan begitu. Selagi belum ada hitam putih kita tunggu sahaja . Kita tunggu sahaja dan apa pun kita bersedia dengan apa jua keputusan dari beliau,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Bibi turut menjelaskan pembantu jurulatih, Yusri Che Lah kemungkinan akan mengendalikan pasukan Kelantan jika Fajr kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan.
“Sekiranya jurulatih letak jawatan selepas beliau sendiri melakukan rombakan pemain dengan dirinya sekali tak ada, Yusri Che Lah kena bersiap sedia untuk ambil alih dan ambil peluang sebaik mungkin dari apa yg diterapkan oleh Fajer sebelum ini.
“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa notis peletakan jawatan daripada Fajer.
“Jadi, untuk memberi pencerahan lebih lanjut, kita perlu tunggu hitam putih. Semasa bertemu dengannya semalam, dia juga tidak menyatakan kepada saya tentang soal peletakan jawatan.
“Jadi, buat masa ini kami menunggu hitam putih,” katanya.
Dalam masa sama, Bibi turut mempertahankan tindakan pengurusan KAFA menggunakan kudrat pemain muda selepas menyingkirkan ramai pemain utama pada musim ini walaupun sedar tindakan itu tidak disenangi penyokong Kelantan.
“Dengan (khidmat) pemain senior sebelum ini sekalipun, kami pernah hampir terjatuh ke Liga Perdana. Tidak salah kalau kami ingin membuat perubahan.
“Lagipun, masih ada beberapa lagi pemain senior dan jangan mengharapkan keputusan drastik.
“Terlalu awal untuk mereka ke final. Cubalah terima kekalahan, kemenangan itu adalah satu rezeki buat kami,” kata kepada Astro Arena.