Dana penajaan yang diterima untuk menampung kewangan pasukan Kelantan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim masih belum mencukupi.
Hal ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan yang mengatakan KAFA masih mengharapkan beberapa penaja besar menaja pasukan itu dalam masa terdekat.
“Setakat ini jumlah penajaan hanya sekitar 50 peratus daripada jumlah yang diperlukan dan tidak cukup untuk menampung satu musim.
“Peruntukkan yang diperlukan minimum adalah sekitar 10 juta dan saya mengharapkan ada lagi pihak yang sudi menaja pasukan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian.
Semalam Bibi hadir dalam Majlis menandatangani penajaan bersama syarikat AL Ikhsan, Konsortium Mutiara, Yakult dan ROHM Semiconductor di sebuah hotel di Subang.
AL Ikhsan diwakili Pengurus Besar, Anwar Mamtaj, Yakult diwakili pengarah urursannya Hiroshi Hamada dan ROHM Semiconductor diwakili Presidennya, Hideki Hashimoto.
Bagaimananapun, Bibi Ramjani enggan mendedahkan jumlah tajaan yang diterima dari keempat-empat syarikat tersebut.
Difahamkan sumber gaji pemain juga masih menggunakan kewangannya sendiri berikutan kekurangan dana.
“Gaji pemain untuk bulan 12 masih menggunakan duit saya sendiri. Tapi tak apa asalkan dapat menggerakkan pasukan.
“Untuk menampung perbelanjaan pasukan, saya juga membuat perniagaan melalui Kafa iaitu mengadakan perlawanan persahabatan dan sebagainya.Ia sedikit sebanyak memberikan dana kepada pasukan,” katanya.
Masalah kewangan dihadapi oleh Kelantan itu menjadi punca mereka hanya mampu mengekalkan sebanyak 20 peratus pemain musim lalu.
Biarpun merombak skuad The Red Warriors (TRW), presiden KAFA itu tetap yakin pasukannya mampu menjulang kejayaan dengan sasaran utama bagi menamatkan aksi musim ini dalam kedudukan kelompok lima terbaik Liga Super.
“Kami hanya mengekalkan pemain tempatan yang masih mempunyai kontrak dengan Kelantan selain terpaksa membelanjakan duit bagi mengikat empat pemain import,” katanya.