Penjaring terbanyak Liga Super 2017, Mohamed Ghaddar sah akan meninggalkan pasukan Kelantan.
Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilyas Khan melalui satu muat naik di laman sosial Facebook milik beliau.
Berbeza dengan beberapa pemain tempatan dan asing yang meninggalkan kem Kelantan pada musim ini kerana dikatakan tiada di dalam perancangan ketua jurulatih Fajr Ibrahim, kes Ghaddar adalah berbeza.
Ghaddar terpaksa dilepaskan oleh KAFA kerana kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL).
Kali terakhir penyerang antarabangsa Lubnan itu diturunkan ialah pada 2 Mei yang lalu ketika skuad The Red Warriors ditewaskan 2-0 oleh PKNP FC.
Ghaddar tidak berada di dalam skuad Kelantan menentang Kuala Lumpur dan sekali lagi PKNP FC selepas itu.
Menurut kenyataan oleh Bibi Ramjani, kontrak Mohamed Ghaddar ditamatkan serta merta atas persetujuan bersama.
Penyerang kelahiran Beirut berusia 34 tahun itu dikatakan akan kembali ke Lubnan untuk menjalani rawatan.
Kecederaan MCL adalah mirip kepada kecederaan ACL, tetapi melibatkan kecederaan pada bahagian ligamen yang berbeza.
Berbanding ACL yang mengambil masa pemulihan dari tempoh sembilan bulan sehingga setahun, MCL akan mengambil tempoh masa yang lebih cepat untuk pulih.
Kebiasaannya, kecederaan MCL boleh dipulihkan dalam tempoh masa empat sehingga enam bulan untuk membenarkan seseorang pemain kembali cergas sepenuhnya.
Mohamed Ghaddar mulai menyertai Kelantan pada tahun 2012; melakukan 32 penampilan dan menjaringkan 13 gol sepanjang tempoh itu sebelum berhijrah ke Felda United pada musim berikutnya.
Pemain itu kemudian kembali ke Kota Bahru pada musim lalu; melakukan 11 penampilan dan menjaringkan 18 gol sehingga pertengahan musim.
Prestasi Ghaddar pantas memikat JDT yang membawa pemain itu menyertai mereka dengan nilai perpindahan yang disifatkan termahal pada ketika itu, bernilai RM1.2 juta.
Bagaimanapun, jodoh Ghaddar bersama JDT hanya bertahan separuh musim, sebelum pemain tersebut kembali menyertai Kelantan pada permulaan musim ini.