“Biar Orang Buat Kita, Kita Balas Dengan Gol” – Foto ‘Gentleman’ Skuad B-22 Yang Penuh Makna

Skuad B-22 Malaysia Kelayakan Piala Asia B-23 Mongolia kita balas dengan gol

“Biar orang buat kita, kita balas dengan gol”, antara frasa yang sesuai menggambarkan dua kemenangan yang diraih skuad B-22 negara setakat ini, selepas meraih enam mata maksimum daripada dua perlawanan.

Dalam dua aksi kelayakan Piala Asia B-23, mereka melalui aksi fizikal daripada Laos dan Mongolia, namun ia berkesudahan dengan mereka meledak gol untuk menang dalam kedua-dua aksi dengan keputusan 1-0.

Dan, tular seketika gambar yang berjaya diabadikan oleh jurugambar daripada Mongolian Football Federation yang memperlihatkan betapa ‘berbudi bahasa’ para pemain muda kita selepas menundukkan lawan yang agresif membuat provokasi sepanjang perlawanan. Kita tidak membalasnya dengan sikap amarah.

Malah kita balas dengan gol kemenangan. Walaupun hanya defisit satu gol, menang tetap menang dan kita sedang mendahului saingan Kumpulan J, dua mata di depan Thailand yang menang selesa 3-0 ke atas Laos.

Menurut pengendali, Brad Maloney, sebagaimana aksi berdepan Laos, Mongolia juga tampil dengan permainan fizikal. Kekasaran demi kekasaran dilakukan oleh Mongolia, namun pengadil seolah-olah tidak nampak.

Adakah pemain kita membalas dengan permainan agresif dan melayan provokasi yang dicipta tuan rumah? Langsung tidak walaupun adakalanya sampai tersungkur pemain-pemain kita dibentes keras oleh mereka.

Adakalanya juga, mereka menjentik mental pemain kita di saat mata pengadil berada di tempat lain, namun lensa kamera berjaya merakam pemain Mongolia memulakannya dan kemudian buat-buat tidak bersalah.

Sejurus perlawanan, para pemain Harimau Muda tampil bersalam dan kemudian membuat tunduk hormat kepada barisan pemain dan staf kejurulatihan lawan, menunjukkan sikap ‘gentleman’ kita terhadap mereka selaku tuan rumah. Ia juga semangat kesukanan tinggi dipamerkan oleh anak-anak buah Brad Maloney.

Mereka tidak mengejek lawan walaupun boleh dikatakan sepanjang perlawanan lawan cuba menjentik emosi dan mental mereka. Inilah sikap terpuji yang telah diterapkan oleh barisan kejurulatihan skuad negara.

Berdepan Thailand selepas ini, ia bukan lagi aksi fizikal. Itu jangkaan Brad Maloney ketika sidang media selepas perlawanan menentang Mongolia. Katanya, “Kita telah lihat permainan Thailand dalam perlawanan pertama.”

“Sejujurnya kami mengambil pendekatan, satu perlawanan ke satu perlawanan. Mereka sangat bagus, sangat teknikal dan memiliki permainan pantas serta pemain-pemain daripada luar negara. Jadi kami jangkakan perlawanan yang sukar untuk aksi ketiga kumpulan selepas ini,” jelas Brad Maloney lanjut mengenainya.

Bagaimana pendekatan taktikal pasukan berdepan lawan sebegitu pula? Thailand harus dikalahkan bagi kita mendapat tiket untuk terus terbang ke Uzbekistan pada Jun 2022, walaupun seri sudah memadai. Jika kalah, empat tiket daripada kedudukan kedua terbaik dalam semua kumpulan, lebih sukar untuk kita perolehi.

Leave a Reply