Kelab Serie A Itali, Roma menghukum seorang penyokong dari menghadiri perlawanan seumur hidup, kerana bertindak melakukan cemuhan berbaur perkauman terhadap pemain pertahanan dari Brazil, Juan Jesus di media sosial.
Kelab Serie A itu berkongsi imej dari mesej penyokong tersebut di Twitter – termasuk maklumat akaun – dan mengesahkan perkara tersebut turut sudah dilaporkan kepada pihak polis.
Tindakan Roma itu mendapat penghargaan ramai warganet di Twitter.
Perkara itu berlaku selepas pihak berkuasa bola sepak di Itali didakwa kebanyakkan pihak – termasuk badan bebas Fare – tidak pernah berusaha untuk menangkis serangan perkauman.
Are you really serious about tackling racism in Italian football, @SerieA?
It’s time for zero tolerance. https://t.co/zP06KeQeuQ
— AS Roma English (@ASRomaEN) September 27, 2019
Pengarah Eksekutif Fare, Piara Powar malah menganggap hal-hal perkauman di bola sepak Itali sudah meresap terlalu dalam ke akar, dan tidak ada pihak pernah tampil untuk mematikannya secara serius apabila ianya berkaitan isu perkauman.
AC Milan baru-baru ini juga melancarkan kempen anti-perkauman dalam perlawanan derbi setempat menentang Inter. Satu banner tertulis ‘Derbi Menentang Perkauman’ dibentangkan sebagai respon kepada beberapa insiden terdahulu.
Penyerang Inter, Romelu Lukaku adalah antara pemain yang menjadi sasaran cemuhan berbunyi monyet oleh penyokong Cagliari pada 2 September lalu. Anehnya, Cagliari terlepas dari tindakan.