Bezanya TMJ Bukan Pemilik SNBJ

Isu kerosakan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semasa perlawanan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India baru-baru ini, telah membawa kita kepada satu realiti penting; nasihat pakar dari Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, adalah sama berharganya dengan sumbangan wang ringgitnya yang berjumlah RM1.4 juta untuk projek penanaman rumput Zeon Zoysia di SNBJ.

Situasi malam tersebut bukan sahaja membuka mata semua orang tentang keperluan untuk mendengar pakar dalam bidang ini, tetapi juga menyedarkan kita magnitud sumbangan TMJ ke arah peningkatan infrastruktur sukan di negara ini melampaui sekadar sumbangan kewangan.

TMJ, dengan pengalaman yang luasnya dalam penyelenggaraan fasiliti bola sepak berkelas dunia melalui JDT telah memberikan amaran awal mengenai keadaan padang SNBJ. Jika diambil kira, kita mungkin dapat mengelakkan isu padang kopak dan rosak pada malam itu. Ini satu peringatan bahawa nasihat TMJ, yang datang dari pengalaman dan ilmu sejak 2013, adalah aset yang sangat berharga dalam usaha memastikan standard padang permainan yang tinggi di SNBJ.

Ketika isu kerosakan padang SNBJ mencapai titik klimaks semalam, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tmendedahkan TMJ telah memberikan ‘amaran awal’ mengenai keadaan rumput SNBJ yang belum cukup matang sebelum perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 berlangsung.

Pendedahan ini membawa kepada penilaian semula peranan dan tanggungjawab dalam situasi ini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi, TMJ telah mengutarakan kegusarannya mengenai keadaan padang tersebut di hadapan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum perlawanan. Namun, dengan tiket yang sudah terjual dan kerumitan logistik dalam menukar lokasi perlawanan dalam jangka masa pendek, keputusan untuk meneruskan perlawanan di SNBJ telah diambil.

Faidz mengatakan, “FAM berada di situ (ketika TMJ memberi amaran) namun tiket sudah terjual dan dalam tempoh 24 jam nak tukar agak susah. Memang benar TMJ ada nyatakan kegusaran pertumbuhan rumput takut tidak mencengkam atau berada pada paras optimum. Kita ada perbincangan bersama FAM tapi itulah, the show must go on (perlawanan perlu diteruskan).”

Ucapan ini tidak hanya membuktikan bahawa TMJ telah bertindak secara proaktif dalam memberi amaran, tetapi juga menekankan bahawa keputusan akhir mengenai sama ada untuk meneruskan perlawanan di SNBJ adalah di luar bidang kuasa beliau, tetapi terletak di bawah seliaan PSM dan FAM.

Apa pun nasihat TMJ, keputusan akhir berkenaan kesediaan padang jatuh ke atas bahu PSM dan FAM. Peranan TMJ adalah sebagai penaja dan pemberi nasihat, sementara PSM dan FAM memegang keputusan operasi dan pengurusan padang.
Perhatian TMJ terhadap kualiti padang di SNBJ melangkaui hanya sumbangan kewangan semata-mata. Menurut PSM, sejurus selepas tamat perlawanan antara Malaysia dan India, pasukan penyelenggaraan padang JDT, serta pasukan PSM, telah segera memasuki stadium untuk mengenal pasti dan membetulkan kawasan-kawasan padang yang memerlukan perhatian. Ini adalah satu lagi contoh di mana TMJ telah meminjamkan kepakaran dan sumbernya untuk memastikan SNBJ berada dalam keadaan terbaik.

“Pihak PSM ambil maklum insiden semalam (kelmarin), dan ketika ini kerja-kerja penambahbaikan sedang giat dilakukan. Sejurus selepas tamat perlawanan malam semalam, pasukan saya dan JDT telah pun masuk ke dalam stadium untuk membetulkan tempat yang perlu dibetulkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi.

Perkara ini menunjukkan bahawa sumbangan TMJ bukan sahaja terhad pada sumbangan kewangan sebanyak RM1.4 juta untuk penanaman rumput Zeon Zoysia, tetapi juga melibatkan kepakaran dan komitmen untuk meningkatkan kualiti padang bola sepak di Malaysia. Dengan menghulurkan bantuan segera melalui pasukan JDT, TMJ menunjukkan keinginan mendalam untuk melihat peningkatan segera dan berterusan dalam standard padang bola sepak di negara ini, sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Pengalaman luas Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam bidang penyelenggaraan padang bola sepak adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Sebagai pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), yang memiliki Stadium Sultan Ibrahim (SSI) — sebuah mercu tanda yang telah dianugerahkan sebagai World Stadium of The Year — TMJ memahami dengan mendalam apa yang diperlukan untuk menyediakan dan mengekalkan padang yang berkualiti tinggi untuk perlawanan bola sepak profesional.

Dalam usaha meningkatkan standard padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), rumput jenis Zeon Zoysia yang sama, kontraktor yang sama, dan sistem saliran serta perparitan yang sama telah digunakan, sejajar dengan apa yang telah berjaya diimplementasikan di Stadium Sultan Ibrahim.

Namun, satu perbezaan kritikal di antara kedua-dua projek ini adalah peranan TMJ sebagai pembuat keputusan akhir di SSI, berbanding dengan SNBJ, di mana keputusan operasi dan pengurusan padang berada di tangan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Ini menunjukkan bahawa walaupun TMJ telah menyumbang banyak dalam bentuk kewangan dan kepakaran, keputusan akhir berkenaan dengan pengurusan dan penggunaan padang di SNBJ adalah di luar bidang kuasanya.

Disebalik kekecewaan yang timbul akibat keadaan padang SNBJ sekarang, keputusan untuk menaik taraf padang dengan rumput Zeon Zoysia tetap adalah langkah yang tepat. Produk ini telah terbukti keberkesanannya dalam mencipta padang bermutu tinggi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Dan potensinya untuk membawa perubahan positif yang sama di SNBJ adalah tinggi.

Namun, kejayaan dalam menjaga kualiti padang bukan hanya bergantung pada jenis rumput yang dipilih, tetapi juga pada pengurusan dan pemeliharaan yang teliti. Nasihat dan pandangan dari TMJ, dengan pengalaman luasnya dalam bidang ini, adalah aset berharga yang seharusnya dihargai dan diambil perhatian.

Seperti yang dicadangkan oleh TMJ, padang perlu diberi masa yang cukup untuk matang sebelum digunakan untuk perlawanan-perlawanan penting. Ini bukan sahaja akan memastikan pemain dapat bermain dalam keadaan padang yang terbaik, tetapi juga akan melindungi pelaburan yang telah dibuat dalam menaik taraf fasiliti ini. Oleh itu, nasihat TMJ tidak seharusnya diabaikan, dan pengajaran penting harus diambil dari insiden ini untuk memastikan pengurusan padang yang lebih baik di masa akan datang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN