Bertentangan Dengan Sejarah, Tradisi & Budaya, Hanya ‘Penyokong Plastik’ Setuju Dengan ESL

Tradisi Bola Sepak ESL

Maaflah jika saya katakan, mereka yang menyokong European Super League (ESL) ini sebenarnya tidak menghormati tradisi bola sepak serta tidak memahami sejarah dan budaya bola sepak.

ESL ini mungkin kena pada selera mereka yang menonton bola sepak sekadar untuk hiburan sukan, yang tiada pertalian dengan kelab, yang tiada semangat kekitaan dan sebagainya. Mungkin di sebelah Asia atau Amerika Syarikat, ramai yang mahu ESL ini jadi kenyataan.

Maka tidak hairanlah selama ini penyokong bola sepak di England, Manchester United contohnya kerap merujuk kepada penyokong dari luar England sebagai plastic fans.

Sejarah, tradisi dan budaya

Di Eropah sana, penentangan terhadap ESL bukan kecil, ia datang dari penyokong 12 kelab yang berkomplot menubuhkan ESL itu sendiri.

Sebab kenapa saya menyebut tradisi dan membangkitkan hal sejarah dan budaya ialah kerana bola sepak ini sukan yang kaya dengan tiga perkara ini. Di benua Eropah, sistem bola sepak yang mereka jalankan menjadi ikutan seluruh dunia.

Bermula dengan liga domestik dan piala domestik yang dilengkapi piramid bola sepak berserta sistem promosi dan relegasi, kemudian ke peringkat liga kontinental dan piala kontinental bagi mana-mana kelab yang berjaya menjuarai liga atau piala domestik mereka.

Sistem ini diguna pakai di negara dan benua Amerika Selatan, Afrika dan juga Asia. Hanya di beberapa negara yang bola sepak bukan sukan tradisi, ia tidak digunakan.

Contohnya di Amerika Syarikat, di mana kelab bola sepak ditubuhkan secara francais dan liga domestik mereka, Major League Soccer (MSL) dimainkan tanpa sistem promosi dan relegasi. Tapi apalah yang boleh kita jangkakan dari negara yang memanggil football sebagai soccer?

Dalam mengikut acuan Eropah tadi, salah satu resepi yang paling berjaya ialah Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Liga berprestij inilah yang kini dalam bahaya kerana digugat oleh ESL sebagai satu breakaway league.

Champions League vs Super League

Untuk sekian lama, kelayakan UCL secara ringkasnya adalah, sebuah kelab perlu menjuarai liga domestik untuk layak. Apabila UCL diperbesarkan, khususnya pada tahun 1997 iaitu tahun yang sama idea ESL muncul, beberapa liga domestik dengan coefficient ranking yang tinggi layak menghantar lebih dari satu pasukan kelab.

Pembesaran UCL ini sendiri adalah langkah UEFA bagi mengekang idea ESL, memuaskan hati beberapa kelab besar selain dari tuntutan komersil (lebih banyak kelab, lebih banyak perlawanan dan lebih banyak keuntungan).

Tapi walau sebesar mana pun UCL, romantisme bola sepak tidak pernah hilang. Untuk layak, semua pasukan kelab perlu menjuarai liga domestik atau berada dalam kedudukan liga yang boleh melayakkan mereka. Pada masa sama, setiap musim akan ada pasukan kerdil yang entah bagaimana layak ke peringkat kumpulan.

Kelab seperti Qarabag (Azerbaijan), Maribor (Slovenia), BATE Borisov (Belarus), CFR Cluj (Romania) dan sebagainya, mereka muncul entah dari mana, bermain dalam Champions League. Walaupun tidak menjadi juara, tapi kadangkala berjaya mencatatkan kemenangan ke atas lawan yang jauh lebih hebat.

Inilah romantisme bola sepak tuan puan. Giant killing act yang selalu disebut-sebut seperti dalam kejohanan FA Cup. Kalau tidak menang pun, keterujaan pasukan kerdil meraikan kunjungan lawan seperti Real Madrid, Chelsea atau Juventus ke stadium mini mereka sudah cukup memberikan orgasme bola sepak kepada kelab dan penyokong.

Kita yang hanya menonton di kaca TV ribuan kilometer jauhnya memang tidak merasai keterujaan itu. Tapi percayalah, inilah romantisme bola sepak. ESL yang dijaja oleh 12 kelab besar tidak akan dapat memberikan romantisme sebagaimana UCL.

Kerana pertama, tiada pusingan kelayakan untuk 12 kelab besar tersebut. Seperti yang tertera pada baju pemain Leeds United ketika memanaskan badan sebelum menentang Liverpool (atau perlu kita panggil, Merseyside Reds?) malam tadi, bertulis ‘Champions League – Earn It’.

Kedua, kerana tiadanya pasukan kerdil seperti CFR Cluj atau BATE Borisov dan keterujaan European nights bila pasukan gergasi terbang ke ceruk Belarus atau Azerbaijan untuk pertembungan David vs Goliath. Yang ada hanya 12 pasukan elit bertarung sesama sendiri dan mungkin 5 kelab jemputan lain.

Apabila bola sepak hilang romantisme, ia bukan lagi bola sepak. Ia sudah menjadi perniagaan francais ala MLS atau apa yang mereka panggil, soccer. Ia menjadi perniagaan seperti NBA, NHL, NFL atau MLB. Google sendiri kalau tidak tahu apa.

Bola sepak, walaupun sudah menjadi perniagaan berbilion dolar, masih lagi sukan rakyat yang penuh semangat dan romantisme. Football is for the fans, itu asas bola sepak.

David vs Goliath

Selain dari hal romantisme tadi, kita juga perlu melihat kerangka bola sepak dari sudut lebih luas iaitu pembangunan bola sepak sejagat. Ini polisi yang diperjuangkan FIFA dan UEFA.

Perlu faham, gunanya Real Madrid terbang ke ceruk Eropah Timur seperti Belarus atau Azerbaijan adalah bukan sekadar melengkapkan jadual, tapi untuk beri peluang kepada pemain kelab kerdil merasa pengalaman bersaing dengan pemain hebat seperti Eden Hazard, Karim Benzema, Sergio Ramos dan sebagainya.

Di pentas Eropah seperti UCL, pemain kelab kerdil dapat belajar dari pemain ternama ilmu bola sepak di atas padang. Ini sebahagian dari pembangunan bola sepak.

Ya, mungkin kita tidak akan tonton perlawanan Liverpool menentang FC Thun atau Inter lawan Partizan Belgrade. Tapi perlawanan sedemikian boleh menjadi pengalaman dan pengajaran berharga buat pemain kelab kerdil tadi.

Dari perlawanan sebeginilah lahirnya bintang bola sepak baharu yang akan menjadi kegilaan anda semua satu hari nanti.

Penutup

Atas faktor ini, ESL ditolak keras oleh peminat bola sepak di Eropah, bahkan oleh penyokong 12 kelab besar ‘Dirty Dozen’ itu sendiri.

Kita yang di sebelah sini, yang sekian lama mengikuti bola sepak Eropah juga perlu menolak ESL kerana ia membunuh tradisi dan mengkhianati sejarah dan budaya bola sepak.

Jangan sampai kita dilihat sebagai plastic fans, yang hanya menyokong kelab seperti Manchester United atau Barcelona kerana faktor komersil semata.

Kredit Foto:

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai European Super League:

5 Sebab Kenapa ESL Dibantah Keras Peminat Bola Sepak

European Super League Bukti Kelab Tidak Kisahkan Penyokong

Ini Wajah Kesebelasan Utama Skuad England Jika Pemain Terlibat ESL Digantung

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN