UAE telah tiba di Malaysia sejak Rabu dan berkampung di Kuala Lumpur lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan persekitaran untuk aksi pertama pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia.
Malaysia baru sahaja melalui malam yang ‘penat’ berdepan musuh serantau Indonesia untuk aksi pembukaan dan telah merekodkan kemenangan berharga menjadikan perlawanan kedua menentang UAE di Bukit Jalil ini pastinya suatu pertembungan yang menarik.
UAE berkelana ke Kuala Lumpur dengan harapan menggunung mahu memulakan langkah kanan dalam saingan kelayakan ini selepas mendapat bye pada pusingan pertama tempohari.
Menurut pengendali UAE yang juga merupakan individu penting yang telah membawa Australia dan Arab Saudi layak ke Piala Dunia edisi sebelum ini, Bert van Marwijk, dengan bakat yang ada di UAE, beliau serius mahu membawa The Whites ke Piala Dunia 2022.
“Saya bukanlah pakar silap mata, tetapi saya seorang jurulatih yang serius mahu membawa perubahan dalam bolasepak UAE,” ujarnya yang dipetik berkata kepada wartawan portal Gulf News.
“Saya sedar akan tahap luar biasa bakat-bakat yang berada di UAE. Adalah menjadi tugas saya kini untuk mengenal pasti bakat-bakat tersebut dan memastikan yang pasukan kami cukup kompetitif bagi melayakan diri ke Piala Dunia selepas ini,” tambahnya lagi.
Bert van Marwijk telah dilantik sebagai pengendali UAE bermula Mac yang lalu telah meletak sasaran untuk layak ke Piala Dunia. Beliau menggantikan Alberto Zaccheroni yang telah membawa The Whites melangkah ke separuh akhir Piala Asia 2019 yang lalu.
Diletakkan di dalam kumpulan yang dipenuhi pasukan daripada Asia Tenggara semakin meningkat motivasi mereka untuk melepasi pusingan kedua ini dan dengan sentuhan pengendali berpotfolio tinggi sepertinya mampu menghadirkan keputusan yang positif.
Menjelang pertembungan dengan Malaysia, mereka telah melalui dua aksi persahabatan menentang Republik Dominica dan Sri Lanka yang menyaksikan dua kemenangan besar telah diraih. UAE menang 4-0 ke atas Republik Dominica dan 5-1 ke atas Sri Lanka.
Malaysia bakal turun berdepan UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September depan untuk minggu kedua pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bagi Kumpulan G.
Kredit Featured Image: News Corp Australia