Insiden kad merah yang dilayangkan kepada Khalifa Al Hammadi lapan minit sebelum berakhir babak pertama dikatakan menjadi punca kepada kekalahan kedua UAE kepada Vietnam dalam aksi ke-4 Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh malam tadi, Khalifa Al Hammadi dikatakan telah menjatuhkan Nguyen Tien Linh – penjaring gol kemenangan Vietnam, dan dilayangkan terusk kad merah tanpa sebarang amaran daripada pengadil.
Bercakap ketika sidang media, pengendali UAE, Bert van Marwijk menyatakan mereka sangat terkejut dengan keputusan pengadil perlawanan, Iida Jumpei yang secara terus memberi kad merah.
Baginya, kekalahan sebegini tidak sepatutnya terjadi kepada mereka. Vietnam berhasil meledak gol pada minit ke-44, hasil tembakan deras Nguyen Tien Linh dari luar kotak penalti.
“Saya tidak pernah melihat seorang pengadil melayangkan kad merah dengan sebegitu cepat. Saya sangat terkejut.
“Keputusan perlawanan pada malam ini ditentukan oleh kad merah tersebut. Saya amat kecewa kerana ini bukan keputusan yang layak buat kami,” jelas pengendali berusia 67 tahun itu.
Namun, van Marwijk tetap memuji pasukan lawan yang baginya memiliki peluang baik untuk melepasi peringkat kumpulan.
Mereka sudah menjangkakan akan menghadapi tentangan sengit Vietnam dan tanpa penjaring terbanyak mereka yang digantung perlawanan, Ali Mabkhout, UAE jelas tampak bergelut.
Enam perubahan juga telah direncana oleh van Marwijk kepada skuad yang tunduk kepada Thailand pada bulan lalu, apabila memberikan penampilan pertama kepada Abdullah Ramadan di tengah dan Ahmed Khalil sebagai pengganti Ali Mabkhout.
“Vietnam adalah pasukan yang bagus. Mereka memiliki gaya permainan yang menarik, dengan barisan benteng yang kukuh.
“Mereka bermain sangat baik pada malam ini. Mereka memiliki peluang yang baik dalam pusingan kelayakan ini,” tambahnya lagi dalam sidang media yang dipetik menerusi portal VnExpress.
Kekalahan 0-1 kepada Vietnam malam tadi adalah kekalahan kedua berturut-turut buat UAE selepas tumbang 1-2 kepada Thailand pada bulan lalu. Dan ketika ini, UAE turun ke tangga ke-3 kumpulan dengan enam mata, berkongsi mata bersama Malaysia.
Vietnam telah melonjak ke kedudukan teratas selepas Malaysia mengejutkan pendahulu, Thailand dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan 10 mata dikumpul.
Kredit Featured Image: Viet Linh