Sikap Berpuak Pemain, “Double Standard”, & Marcote Antara Sebab Kejatuhan Kedah

Dari finalis pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun sebelumnya, pasukan Kedah ibarat dilanda tsunami pada musim ini.

Dicanang sebagai salah sebuah pasukan gergasi bola sepak tanah air yang mampu mencabar penguasaan JDT, Kedah mengakhiri musim 2018 dengan mendukacitakan.

Mengakhiri saingan Liga Super Malaysia 2018 di tangga ke-6, gagal melayakkan diri ke suku akhir Piala FA, dan turut tidak melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia, bukan prestasi yang diharapkan dari skuad Lang Merah.

Photo by: Safwan Rozi | Asiana.my

Terbaru ialah komen kontroversi dari pemain import, Liridon Krasniqi mengenai bekas Ketua Jurulatih, Nidzam Adha dan tersebarnya video pergaduhan membabitkan beberapa pemain ketika sesi latihan.

Apa sebenarnya yang berlaku di kem Kedah FA?

Perkongsian penyokong

Seorang penyokong skuad Lang Merah yang dikenali sebagai Datu’ Daud Ghani berkongsi pandangannya di laman Twitter.

Menurut Datu’ Daud Gani, pandangan beliau bukan untuk mencari kesalahan atau menuding jari kepada mana-mana pihak.

Tetapi lebih kepada logik seorang penyokong biasa yang mengambil berat akan apa yang berlaku kepada pasukan bola sepak, antara yang diikuti ramai di dalam negara.

Jurulatih

Menurut Datu’ Daud Ghani, segalanya bermula ketika Tan Cheng Hoe dilamar FAM sebagai pembantu jurulatih pada 17 April.

Sebelum itu, Kedah berjaya merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih, kedudukan ke-4 Liga Super, Juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe dan dibantu oleh Nidzam Adha.

Selepas itu, kem Kedah menyaksikan pertukaran sehingga tiga jurulatih.

Nidzam mengambil alih secara sementara sebelum ketibaan Roman Marcote.

Kemudian Nidzam kembali sebagai ketua jurulatih sehingga direhatkan pada Ogos lalu. Jawatan beliau kemudian diambil alih oleh Azzmi Aziz sehingga tamat kempen musim ini

Era Ramon Marcote

Selepas pemergian Tan Cheng Hoe, dan walaupun prestasi Kedah pada 2017 tidaj seburuk mana, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengambil langkah popular melantik Ramon Marcote sebagai pengandali atas desakan peminat.

Ketibaan Marcote tiba dengan bersyarat, iaitu turut membawa dua pemain kegemaran beliau, Pablo Pallares dan juga Alvaro Da Silva.

Ketibaan dua pemain tersebut menyebabkan Ken Ilso dan Zach Anderson meninggalkan kem Kedah, walaupun Ilso sebagai contoh, berjaya menjaringkan 15 gol daripada 18 perlawanan.

Segalanya tampak sempurna pada awalnya. Perlawanan pra musim diadakan di Indonesia. Walaupun tidak mencatatkan keputusan positif, alasan pada ketika itu ialah kerana Marcote sedang menguji beberapa pemain.

Pablo sendiri turut berjaya menghasilkan beberapa jaringan.

Prestasi Pablo Pallares

Selepas beberapa perlawanan liga, kepincangan di dalam skuad Kedah terutama di bahagian serangan mulai kelihatan.

Pablo hanya menjaringkan 3 gol daripada 7 perlawanan pertama. Taktikal Marcote turut mulai dipersoalkan oleh penyokong, selepas tiki taka yang diharapkan dari pengendali Sepanyol itu tidak kunjung tiba.

Aksi Pablo Pallares ketika menentang PKNP FC. FOTO: KFA

Selepas desakan oleh penyokong, pengurusan KFA akhirnya merehatkan Marcote. Tempat beliau juga diambil alih sekali lagi oleh Nidzam Adha.

Pablo Pallares yang sering dikecam peminat turut digantikan dengan penyerang import dari Brazil, Paolo Rangel.

Terdapat pendapat di kalangan penganalisis menyatakan apa yang dilakukan Marcote di Kedah sebenarnya tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan ketika era Tan Cheng Hoe.

Bezanya ialah posisi dan peranan Baddrol Bakhtiar daripada seorang pemain sayap menyerang, yang diletakkan di bahagian tengah sebagai pemain No.6.

Perpecahan pemain

Ada cakap-cakap di Kedah yang mengatakan Marcote melabel pemain tempatan sebagai pemalas.

Perkara ini tidak berapa disenangi kelompok pemain tempatan, dan latihan kecergasan dijalankan di bawah bimbingan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo.

Anehnya, pemain asing tidak perlu mengikuti latihan kecergasan tersebut. Persoalannya, mengapa perlu ada dua kelompok latihan di dalam satu pasukan?

Pada pendapat Datu’ Daud Gani disinilah permulaan kepada keretakan di dalam pasukan Kedah.

Pablo Pallares terus diturunkan walaupun tidak menghasilkan prestasi yang diharapkan, dan Marcote dilihat tidak memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk turun beraksi.

Ini menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan pemain tempatan. Apatah lagi  Marcote dikatakan cuba menggunakan pemain import sehingga ada yang merasakan hanya Marcote dan pemain import sahaja yang mampu menjadikan Kedah sebagai juara.

Nidzam Adha ambil alih sekali lagi

Selepas desakan oleh kumpulan penyokong, akhirnya Marcote direhatkan, dan Nidzam Adha sekali lagi diumumkan sebagai Ketua Jurulatih.

Nidzam dikatakan enggan menggalas tanggungjawab tersebut pada mulanya, namun terpaksa akur kerana faktor kos yang perlu ditanggung oleh KFA.

Nidzam tahu beliau bukan individu terbaik untuk jawatan tersebut. Tetapi jurulatih yang juga bekas pemain ini mahu melakukan tugas beliau sekurang-kurangnya sehingga tamat saingan musim ini, dengan harapan pengganti yang lebih baik tiba kemudian.

Namun Nidzam gagal memulihkan pasukan Kedah seperti yang penyokong dan beliau sendiri harapkan. Masalah utama ialah Nidzam gagal menyatukan kembali pemain yang sudah mempunyai hubungan retak sejak era Marcote.

Kehadiran Nidzam turut dikatakan tidak disenangi oleh pemain import yang ada di dalam pasukan.

Malah Paulo Rangel turut dikatakan mulai bersikap tidak sepatutnya sehingga gagal menghadirkan diri ke latihan.

Selepas tewas 5-1 kepada JDT di saingan Piala Malaysia, akhirnya Nidzam mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.

Azzmi Aziz tiba untuk baki saingan

Pengunduran Nidzam bermakna Azzmi Aziz tampil sebagai pengganti tatkala musim Liga Malaysia mulai menuju ke penghujung.

Liridon yang dilaporkan mengalami kecederaan pada ketika itu, tiba-tiba sahaja pulih dan bersedia untuk diturunkan.

Untuk berlaku adil, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Azzmi Aziz sebenarnya, tatkala pasukan penyakit di dalam pasukan sudah menajdi sangat kronik.

Kecaman Liridon

Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan turut dikejutkan dengan kecaman oleh Liridon terhadap Nidzam Adha.

Persoalannya ialah bagaimana Nidzam mampu menjalankan tugas beliau seperti yang diharapkan sekiranya pemain ‘buat kepala’ dan tidak mempunyai keharmonian di dalam pasukan?

Wajarkah Liridon menempelak jurulatih yang pernah menaikkan namanya? Atau profesionalkah perlakuan begitu?

Penutup

Bagi Datu’ Daud Ghani, masalah utama pasukan Kedah pada pasukan ini ialah keharmonian di dalam pasukan.

Masalah ‘double standard’ yang bermula era Marcote juga dikatakan menjadi punca segala permasalahan.

Mungkinkah Kedah memerlukan seorang Ketua Jurulatih yang tegas dengan isu disiplin pada masa akan datang?

Harapan kami, dan semestinya penyokong bola sepak Kedah ialah supaya Lang Merah mampu terbang tinggi kembali di musim akan datang.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN