Saban hari, isu tunggakan gaji semakin teruk kedengaran membabitkan kelab-kelab yang bertanding di pentas Liga Malaysia (Liga M), sehingga ia dianggap mencemarkan nama baik bola sepak di negara.
Sejak beberapa tahun ini, ia dianggap bukan suatu yang pelik untuk timbulnya isu tunggakan gaji dalam kelab bola sepak tempatan sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan peminat.
“Bila Nak Bayar Baki Tunggakan?” – Giliran Perak Alami Isu Tunggakan Gaji
Lebih menggerunkan, ‘trend’ tersebut seolah meningkat saban tahun dengan membabitkan lebih daripada satu kelab menerima masalah kewangan sehingga ada pemain serta staf menanggung tunggakan berbulan lamanya.
Disebabkan itu, sebuah nasihat diberikan buat kelab-kelab yang bertanding supaya berpijak di bumi nyata ketika berbelanja selain mengikut kemampuan tersendiri untuk bertanding.
Menurut Mohd Sadek Mustafa selaku penganalisi sukan tempatan, setiap kelab tidak perlu berbelanja terlalu mewah jika hanya ingin mengikuti pasukan lain lebih berkemampuan daripada segi kewangan.
“Kebanyakan kelab nak ikut macam pasukan besar yang mampu memberi kemewahan, itu yang menjadi masalah.
“Jadi apa harus dilakukan, kelab tiada masalah perlu mengekalkan keupayaan mereka mewujudkan bajet yang telus dan buat apa mereka mampu.
“Kalau tidak, berapa lama kelab boleh bertahan dan berapa lama penaja mahu menaja kelab, Liga-M perlu berpijak di bumi nyata, tidak perlu bermegah-megah, perkara ini kronik tapi tidak digembar-gemburkan,” kata beliau menerusi BERNAMA serta dikongsikan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Sadek enggan melihat campur tangan kerajaan dalam usaha melepaskan kemelut kewangan dialami pasukan dengan ianya perlu ditanggung oleh persatuan.
Kementerian Belia dan Sukan tak boleh buat apa-apa kecuali bantu pemain dari segi kemahiran dan lain-lain, ia di bawah tanggungjawab persatuan dan pemegang taruh, ia tak sama dengan persatuan yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri,” tambah beliau.
Selain itu, Datuk Dr Pekan Ramli berharap supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu mencipta kerjasama lebih baik untuk mengatasi isu tunggakan gaji dalam kalangan kelab tempatan.
“Setidak-tidaknya panggil semua pasukan yang bermasalah, bincang dan cari permasalahan dan cadang solusi yang boleh dibuat, menunjukkan keprihatinan dengan isu ini.
“Di peringkat FAM dan MFL juga perlu melihat adakah struktur liga tempatan membebankan pasukan atau tidak.
“Kalau kita tak bendung masalah tunggakan gaji, akan hilang satu persatu kelab beraksi di liga, lama kelamaan tiada saingan sengit, yang kedua, kelab-kelab ini berdepan tindakan mahkamah secara tidak langsung mencemarkan nama baik liga tempatan,” ujar beliau.
Kedah Akui Masih Berusaha Dapatkan Dana Untuk Lunas Segala Tunggakan Gaji
Rekod musim ini menyaksikan Kedah Darul Aman (Kedah) antara pasukan paling hebat daripada segi cabaran mereka mengenai isu tunggakan gaji sehingga menyaksikan ada pemain memboikot untuk turun sesi latihan.
Selain itu, Kuala Lumpur City (KL City) juga turut mengalami masalah yang sama serta dianggap cukup untuk mencemarkan nama baik sukan bola sepak Malaysia di mata dunia.