Bintang Manchester City, Bernardo Silva mendedahkan bahawa pemain kelab tersebut seringkali diabaikan untuk memenangi anugerah peribadi meskipun The Cityzens sudah bergelar juara Liga Perdana Inggeris empat kali.
Perkara tersebut dibuktikan oleh Silva yang memberikan contoh tiada seorang pun pemain Manchester City bergelar ‘PFA Player of the Year’ berbanding empat kali menjadi milik pemain Liverpool dan tiga kali buat Tottenham Hotspur walaupun kedua-dua kelab tersebut tidak pernah muncul juara liga.
Pemain kelahiran Portugal itu turut beranggapan rakan sepasukannya seperti Kevin De Bruyne, Sergio Aguero dan Raheem Sterling jelas tidak bernasib baik untuk meraih gelaran peribadi tersebut.
”Tiga musim lalu, kami memenangi saingan liga, Liverpool ketinggalan 30 mata di belakang kami dan Kevin De Bruyne menikmati musim yang cukup luar biasa.”
”Mo [Mohamed] Salah telah menjaringkan banyak gol – dia merupakan seorang pemain yang hebat, saya juga amat mengaguminya, saya tidak mengatakan sebaliknya tetapi mereka [The FA] memberikan gelaran [Pemain Terbaik Tahunan] buat Salah, bukan kepada De Bruyne.”
”Musim berikutnya [2018/19], ia sangat sengit. Raheem Sterling bersaing seiringan dengan Van Dijk. Ia sangat ketat tetapi mereke menghadiahkannya kepada Van Dijk,” ujar Silva menurut laporan Goal.
”Kempen kali ini pula, sekali lagi, De Bruyne menikmati satu lagi musim yang luar biasa. Kami berada di belakang tetapi kerana Liverpool adalah juara, kemungkinan salah seorang daripada mereka akan memenangi anugerah ini lagi.”
David Silva, Kun Aguero tidak pernah memenangi ‘PFA Player of the Year’. Saya merasakan anugerah peribadi adalah berkaitan dan penting. Tetapi ia bukanlah perkara penting. Orang ramai perlu berhenti daripada terlalu memikirkan tentang pendapat saya ini.”
”Saya tidak mahu menjadikan perkara ini sebagai polemik. Saya bercakap mengenai pemain Liverpool tetapi saya mengagumi pasukan dan pemain mereka – tidak ada apa untuk dilakukan kepada mereka, ia hanya sekadar contoh kecil,” ujar Bernardo Silva lagi.
Kredit foto: Manchester City/Manchester City FC via Getty Images