Pengendali Negeri Sembilan, K. Devan akui pasukannya mempunyai peluang cerah untuk mara ke suku akhir dan akan tampil dengan aksi yang lebih baik dalam perlawanan kedua pusingan 16 pasukan terakhir nanti di Paroi.
Bagi jurulatih tersebut, bermain di halaman sendiri sudah pasti memberi kelebihan buat tuan rumah dan dengan rekod yang cemerlang mereka, sudah pasti ia akan memberi sinar buat pasukan.
“Ada peluang cerah untuk melangkah ke suku akhir dan kita akan gunakan peluang ini sebaik mungkin apabila bermain di tempat sendiri.
“Saya rasa kita boleh bermain lebih baik di tempat sendiri berbanding dengan perlawanan di Kedah dalam keadaan padang yang basah, “katanya.
Dalam perlawanan terakhir Liga Super, Negeri Sembilan berjaya menundukkan Kedah Darul Aman dan mereka yakin dapat mengulangi kejayaan tersebut.
Devan juga yakin anak didiknya akan menggunakan peluang yang terhidang ini sebaik mungkin untuk melangkah ke pusingan seterusnya dan tidak akan mensia-siakan kelebihan yang mereka ada ini.
Dalam perlawanan menentang Kedah, pengendali skuad Rusa sudah mempunyai perancangan tersendiri sebelum turun beraksi menentang lawan mereka memandangkan sudah bertemu beberapa kali sebelum ini.
Kedah adalah pasukan yang bagus dari segi serangan balas dan tiga pemain di hadapan boleh menjaringkan gol.
Maka dari situ, Negeri Sembilan memastikan pemain yang boleh mencipta peluang dan menjaringkan gol akan dikawal sebaik mungkin agar pemain tersebut tidak bergerak bebas untuk mendapatkan jaringan.
Taktikal yang diterapkan itu ternyata memberi keputusan positif buat pasukan apabila mereka berjaya bertahan dengan baik dan dapat melakukan serangan untuk mencari gol.
Malah dengan keadaan padang tidak begitu baik akibat hujan, ketua jurulatih Negeri Sembilan berkata mereka juga bernasib baik kerana dapat menjaringkan gol.
Menjelang perlawanan kedua nanti, Devan yakin dapat menurun barisan pemain yang lebih kuat selepas beberapa pemain tidak dapat diturunkan dalam perlawanan pertama ini.
Negeri Sembilan yang berada di prestasi terbaiknya musim ini pasti dilihat pasukan pilihan berbanding Kedah yang tidak konsisten selepas kalah enam perlawanan berturut-turut.