“Beri Kuasa Pilih Pemain Kepada Jurulatih” – Permintaan ‘Pelik’ Dollah Salleh Kepada Sri Pahang

Dollah Salleh Sri Pahang 2021 kuasa pilih pemain

Sedikit janggal apabila pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh berkata jika dikekalkan, beliau berharap agar kuasa pemilihan pemain untuk saingan musim depan diserahkan kepadanya, bukan ditentukan pihak pengurusan.

Bukankah pemain yang berada dalam pasukan memang adalah hasil pilihan barisan kejurulatih? Atau adakah pemilihan pemain di Malaysia secara am dan Sri Pahang khususnya, ditentukan oleh pihak pengurusan?

Tidak dapat dipastikan sama ada ia amalan setiap pasukan di Malaysia atau ia hanya berlaku di Sri Pahang.

“Saya rasa kali ini, beri kepercayaan kepada saya supaya menentukan pemain. Sebab kita lebih berpengalaman tentang pemilihan pemain. Kalau kita masih mengharapkan pengurusan, mungkin jurulatih tidak sesuai dengan pemain. Itu yang jadi masalah. Jadi, apa-apa berlaku kepada pasukan adalah tanggungjawab jurulatih.

“Kita kena adil jugalah tentang perkara ini,” ujarnya yang ditemui media sejurus perlawanan menentang KL City FC yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada lawan dengan keputusan 0-1 di Stadium Darul Makmur.

“Pada awal musim, saya belum pegang pasukan lagi jadi, pemilihan pemain bukan daripada saya. Jadi, kalau saya dikekalkan, mungkin saya akan beri pandangan pada pengurusan yang kita kena ambil pemain yang sudah sebati dengan Liga Super dan Piala Malaysia,” ungkapnya lagi mengenai pemilihan pemain Sri Pahang.

Jika diamati, Dollah Salleh merupakan pengurus pasukan pada awal musim lalu dengan Thomas Dooley dilantik sebagai ketua jurulatih. Namun, Thomas Dooley hanya bertahan untuk dua aksi sebelum beliau ‘direhatkan’.

Jadi, adakah barisan pemain di awal musim lalu pilihan Thomas Dooley? Berdasarkan kenyataan Dollah Salleh, tidak. Ia ditentukan oleh pengurusan pasukan yang mungkin turut diwakili olehnya sebagai pengurus pasukan?

Perubahan yang berlaku hanya melibatkan pemain import dalam jendela perpindahan kedua pada Mei. Dan ketika itu, mereka dibawah kendalian Dollah Salleh yang merupakan pengendali sejak perlawanan ketiga lagi.

Adakah ia salah pengurusan pasukan yang ada kuasa memilih pemain tanpa melibatkan langsung barisan kejurulatihan dan bukankah Dollah Salleh sebahagian daripadanya sebelum pelantikan Thomas Dooley?

Ini merupakan senarai pemain yang dibawa masuk pada awal musim dan di jendela perpindahan kedua.

Jendela perpindahan pertama:

Zarif Irfan, Ezanie Salleh, Jadid Illias (Felda United), Lee Tuck (Terengganu FC), Sergio Aguero (KL Rovers), Hafiz Ramdan (Perak FC), Baqiuddin Shamsudin (UKM FC), Mamadou Wague (Alki Oroklini), Yevhen Bokhashvili (PSS Sleman), Pedro Henrique (Sheikh Russel) Shahrul Aizad dan Abdul Malik Mat Ariff,.

Jendela perpindahan kedua:

Nick Swirad (Nongbua Pitchaya), Yakubu Abubakar (Shan United), Manuel Hidalgo (Sheffield Wednesday), Aung Kaung Mann (Ayeyawady United), Kenny Athiu.

Leave a Reply

Bacaan Yang Disyorkan Untuk Anda