Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva tekad untuk membantu skuadnya menjulang kejuaraan Piala FA tahun ini apabila berdepan Terengganu.
Selain dalam misi untuk mencari kejuaraan pertama musim ini, Bergson mahu membantu JDT menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA telah lama tidak dimenangi Harimau Selatan.
Untuk rekod, kali terakhir JDT membawa pulang Piala FA adalah pada 2016 apabila JDT menang 2-1 mengatasi PKNS.
Menurut Bergson, memberikan yang terbaik adalah kemahuannya dalam memastikan kejuaraan menjadi milik JDT Sabtu ini.
“JDT sudah lama tidak menang dalam kejohanan Piala FA dan sudah tentu saya serta rakan sepasukan akan berikan segalanya pada perlawanan akhir ini.
“Sepanjang tempoh persiapan ke final, kami akan perbaiki segala kekurangan serta cuba berada di tahap terbaik supaya segalanya akan berjalan lancar pada hari perlawanan,” kata penyerang dari Brazil itu.
Dalam masa yang sama, Bergson juga berharap yang sokongan padu para penyokong JDT akan menjadi pembakar semangat buat beliau dan rakan-rakan menghadapi skuad Nafuzi Zain.
“Saya berazam untuk berada di tahap terbaik pada hari perlawanan dan cuba ulangi prestasi yang sama seperti mana yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.
“Kepada penyokong JDT, saya harap semua dapat hadir ke Stadium Nasional kerana kami amat perlukan anda sebagai pembakar semangat dan kami akan berikan yang terbaik untuk anda semua,” ujar Bergson.