Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva tampil selaku antara pemain paling bersemangat kini untuk mengharungi aksi seterusnya dalam saingan Liga Super musim 2024/2025.
Nama Bergson tak perlu diperkenalkan lebih panjang kerana rata-rata mengetahui kualiti dimiliki penyerang dari Brazil itu sudah oun diakui sejak beberapa musim lalu.
Menjadi selaku mesin gol buat JDT, Bergson bukan sahaja berbisa di pentas domestik, malah beliau turut membuktikannya dalam saingan Asia buat kelab tersebut.
Untuk musim ini sahaja, Bergson tampil garang meeledak enam gol secara keseluruhan dalam aksi Liga Super serta dibezakan oleh dua jaringan sahaja berbanding Heberty Fernandes.
Maka tidak hairan beliau tampil bersemangat untuk aksi ini bertemu PDRM kerana rekod semasa dirinya dianggap mampu terus bertambah.
Pada aksi yang akan berlangsung hari ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dijangka Bergson akan terus mengetuai siri serangan pasukan tersebut untuk menghadapi cabaran sengit PDRM.
Menerusi pertemuan musim lalu, Bergson akui PDRM mampu untuk memberi aksi sengit buat mereka selain optimis demi mengekalkan momentum cemerlang.
“Kita tidak ada sebarang alasan untuk tidak meraih tiga mata. Kami tidak boleh beraksi sambil lewa.
“Yang penting semua pemain perlu ada motivasi tersendiri bagi memastikan misi tiga mata itu berjaya dijelmakan sekali gus beri lebih keyakinan untuk persiapan separuh akhir Piala FA, Ahad ini.
“Dengan mengekalkan momentum dan mentaliti kemenangan, lebih banyak kejayaan akan mampu dicapai. Inilah yang selalu ditekankan kepada kami dan kami akan cuba merealisasikannya,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada aksi lalu, penyerang berbisa ini berjaya meledak hatrik ketika JDT mengatasi cabaran Terengganu menerusi keputusan penuh 4-0 di halaman sendiri.
Menerusi momentum positif yang dilakar, sudah tentu Bergson ingin terus mengekalkannya demi mempertahankan reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Super.
Pastinya ia menjadi tugas berat buat PDRM hari ini untuk cuba menyekat kemaraan Bergson bersama rakan sepasukan lain walau berkelebihan di halaman sendiri demi mengelak daripada kekalahan berterusan.