Legenda Arsenal, Dennis Bergkamp tanpa berselindung mengakui Liverpool dan Manchester City adalah merupakan pasukan yang hebat dengan pencapaian hebat dijelmakan sejak kebelakangan ini.
Liverpool berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 dan musim ini melakar sejarah pertama kali muncul juara Liga Perdana Inggeris manakala Manchester City pula turut gah dalam kancah domestik dengan enam kejuaraan dimenangi sejak dibimbing Pep Guardiola.
Bagaimanapun Bergkamp merasakan pencapaian yang dinikmati kedua-dua pasukan tersebut masih belum mampu untuk menandingi kehebatan skuad ‘The Invincibles’ Arsenal pada musim 2003/04.
Pada musim tersebut, Arsenal yang dibimbing Arsene Wenger mencatatkan 26 kemenangan dan 12 keputusan seri untuk membolehkan The Gunners memperoleh trofi emas EPL.
”Perkataan itu telah menjelaskan segalanya – invincible. Anda merasa seperti memasuki padang, anda mengetahui bahawa anda akan memenangi perlawanan itu. Yang menjadi masalah adalah bagaimana cara anda memenanginya dan berapa gol yang akan dijaringkan.”
”Anda pandang di sekeliling bilik persalinan dan memikirkan, ‘[ini] sebuah pasukan yang luar biasa’. Kami sangat baik berbanding lawan kami di setiap kawasan,” ujar Bergkamp menurut laporan Goal.
”Kami semua juga bersahabat baik antara satu sama lain. Kami makan malam bersama dengan enam tujuh orang pemain, atau meluangkan masa berkumpul di rumah salah seorang pemain bersama-sama isteri dan teman wanita masing-masing.”
”Mungkin anda perlu saling bersahabat agar dapat berjaya sebagai sebuah pasukan.”
”Ia merupakan saat hebat yang tercatat dalam sejarah. Ia sukar untuk diatasi. Terdapat beberapa pasukan hebat selepas pencapaian itu, baru-baru ini dengan Manchester City dan Liverpool, dan mereka sukar untuk melakukan apa yang telah kami cipta.”
”Setiap tahun, ia [rekod itu] membuatkan saya sangat berbangga, ia adalah pencapaian yang cukup hebat,” tambah Dennis Bergkamp lagi.
Kredit featured image: Clive Mason/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai The Invincibles: