‘Berapa Kali Nak Kaji?’ – KBS Harus Sedar Isu Padang SNBJ Sudah Lapuk

Isu rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kembali menjadi topik panas pada minggu ini. Hakikat sebenar, ia adalah isu lapuk yang tidak pernah berjaya diselesaikan sejak 1998.

Untuk bola sepak, SNBJ sentiasa menjadi pilihan utama peminat bola sepak tanah air untuk menjadi arena penganjuran perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan – selain perlawanan akhir pertandingan domestik seperti Piala Malaysia dan Piala FA.

Dan setiap kali itulah juga, kualiti padang akan kembali, sebelum dilupakan, kemudian dijanjikan pembaikan, kemudian dikaji, kemudian isunya sejuk, dan kemudian menjadi panas kembali – demikianlah putaran isu padang rumput SNBJ yang banyak ‘kemudian’ dan sering ‘berputar kembali’

Masalah SNBJ

Dan sejak 28 tahun yang lalu, pelbagai masalah turut dijadikan alasan mengapa masalah padang di SNBJ tidak sesuai.

Tidak terkecuali dipersalahkan adalah struktur bangunan stadium itu sendiri yang dikatakan menjadi punca kepada masalah pencahayaan kepada rumput yang ditanam.

Stadium tersebut turut difahamkan pernah menggunakan pelbagai jenis rumput antaranya bermuda, paspalum dan cow grass. Dan sehingga ke hari ini SNBJ dipercayai masih lagi menggunakan rumput jenis cow grass.

Persoalannya perlukah kita tunggu lagi 28 tahun untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini? Berapa jutakah lagi duit ‘pembayar cukai/ rakyat’ yang perlu dibelanjakan untuk SNBJ memiliki rumput padang yang berkualiti?

Tindakan TMJ boleh difahami

Mungkin sudah muak dengan isu sama sejak lebih dua dekad yang lalu, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memutuskan untuk menggunakan duit poket baginda sendiri menaja pembaikan rumput di SNBJ.

Hanya selepas lima jam hasrat baginda untuk berbuat demikian dikongsi di media sosial JOHOR Southern Tigers, sebuah cek telah ditandatangani untuk berbuat demikian.

Dan dengan pengalaman yang ada terutamanya selepas JDT menjadi kelab pertama di negara ini memiliki stadium sendiri, selain beberapa fasiliti lain milik JDT yang memiliki padang terbaik di negara ini – menggunakan rumput jenis  Zeon Zoysia – sudah tentu rumput jenis sama turut ingin ditanam di SNBJ.

“Niat saya ikhlas utk membantu. Rumput Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim sudah terbukti,” tulis TMJ melalui ciapan di Twitter.

“Tetapi kalau tidak diterima, saya tidak boleh buat apa-apa. Saya juga akan melawat SNBJ pada 19 March. Saya akan kongsikan kos utk padang baru, dan kos maintenance setahun tidak melebihi RM240,000.”

Teguran Faizal Azumu

Pada masa yang sama, Menteri Belia dan Sukan, YB Faizal Azumu hari ini sempat menegur laman ini kerana menyiarkan sebuah artikel yang diambil daripada sumber yang diyakini.

Menurut Faizal, kenyataan daripada Semuanya BOLA ini tidak tepat kerana beliau tidak mengeluarkan kenyataan seperti yang ditulis di tajuk berita.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau seperti yang dipetik daripada Bernama:

“Badan Lembaga PSM akan membuat keputusan mengenai jenis rumput paling sesuai berdasarkan kepada bukti saintifik didapati daripada pakar runding. PSM dan KBS tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, tetapi berdasarkan kepada laporan saintifik bagi mengelakkan berlakunya isu berkaitan rumput di stadium tersebut.

“Terdapat pandangan berbeza berkaitan ‘Cow Grass’, ada yang suka dan ada yang tidak. Kami juga perlu melihat kepada pelbagai aspek, termasuklah tujuan penggunaan stadium, jika ia terhad kepada bola sepak, ia akan memberi kesan kepada pendapatan PSM.”

Kami ingin memohon maaf kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Haji Azumu kerana gagal memahami konteks yang dimaksudkan melalui kenyataan tersebut.

Tiada sebarang niat daripada portal ini untuk memburukkan nama atau mengabaikan tanggungjawab terhadap fakta dan laporan yang disiarkan. Bola sepak sememangnya sentiasa menjadi keutamaan kami.

Oleh itu, ingin juga kami membuat pertanyaan siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan sebagai ‘PSM dan KBS’  dan ‘kami’ seperti di atas agar tiada lagi kekeliruan sama berlaku pada masa hadapan.

Apa status sumbangan TMJ?

Turut menjadi persoalan adalah status sumbangan TMJ. PSM dipercayai sedang menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan untuk mengetahui jenis rumput yang sesuai untuk TMJ.

Mengapa bukti saintifik atau ujikaji terhadap jenis rumput hanya diperlukan dan dilakukan sekarang? Berapa lamakah kajian tersebut telah dilakukan dan bilakah ia akan selesai?

Adakah cadangan TMJ untuk menggunakan rumput jenis Zoysia akan ditolak sekiranya hasil kajian tersebut menyatakannya tidak sesuai?

Untuk rekod dan pengetahuan YB Menteri, sehingga kini Stadium Sultan Ibrahim merupakan salah sebuah daripada tiga stadium dirantau Asia Tenggara yang menggunakan rumput dari jenis Zeon Zoysia. 

Dua lagi stadium yang menggunakan rumput yang sama di rantau ini adalah Stadium Nasional Singapura dan Stadium Utama Gelora Bung Karno yang masing-masing merupakan stadium utama di Singapura dan Indonesia.

Dan sehingga kini kedua-dua stadium telah menganjurkan pelbagai jenis acara sukan dan aktiviti lain seperti konsert. Point utama di sini, Singapura dan Indonesia tidak perlu lakukan kajian yang begitu lama. Begitu juga dengan Stadium Sultan Ibrahim yang siap pembinaannya dua tahun yang lalu.

Tanggungjawab siapa sebenarnya?

Buat masa ini siapakah yang akan memberi kata putus terhadap jenis rumput yang akan digunakan nanti masih kekal misteri.

Walaupun SNBJ adalah tanggungjawab secara langsung PSM, tetapi bukankah KBS juga harus bertanggungjawab terhadap agensi di bawahnya. Begitu juga tanggungjawab menteri. Janganlah menari yang tak pandai, dikatakan lantai yang berjungkit.

Sebagai penyokong bola sepak dan juga rakyat Malaysia,  sudah pasti ianya adalah satu impian untuk melihat SNBJ memiliki padang rumput yang cantik dan berkualiti untuk kegunaan skuad kebangsaan. Semoga kita tidak perlu kaji dan tunggu lagi selama 28 tahun.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN