Berapa Gaji Pemain Bola Sepak Di Malaysia?

Gaji

Isu gaji pemain bola sepak tanah air pastinya menjadi antara perkara yang sentiasa menarik untuk diperdebatkan dalam kalangan pemerhati, pengamal serta peminat bola sepak tempatan.

Bukan mahu mempertikaikan rezeki para pemain tetapi adakalanya terdapat pemain yang gagal memberikan sumbangan di atas padang setimpal dengan pendapatan diterima oleh mereka. Keadaan tersebut yang menjurus kepada kesangsian mengenai jumlah gaji buat seseorang pemain itu.

Gaji pemain tempatan: RM10,000 – RM80,000

Menurut sumber video Koppa yang dimuatnaik pada 5 Februari 2019, kadar gaji pemain tempatan di Malaysia pada ketika ini adalah dalam lingkungan RM10,000 hingga RM80,000 sebulan. Pemain yang tidak ternama atau kurang dapat peluang beraksi pula mungkin dengan nilai minimum RM5,000.

Pemain yang kerap dipilih mewakili skuad Harimau Malaya akan dibayar nilai gaji paling tinggi di kalangan pemain tempatan. Baddrol Bakhtiar seperti contoh, dilaporkan menikmati gaji RM77,000 pada musim 2018.

JDT bayar paling mahal

Pasukan dengan sumber kewangan yang baik dan kukuh, seperti JDT tidak berdepan masalah untuk menawarkan gaji tinggi kepada pemain tempatan.

Pada tahun 2015, NST melaporkan Safiq Rahim meraih RM70,000 daripada JDT.

Tetapi pasukan negeri lain juga berani membayar gaji mahal kepada pemain seperti Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor. Kebiasaannya pasukan ini mendapat peruntukan lebih RM10 juta setahun daripada kerajaan negeri.

Pemain bertaraf skuaf kebangsaan biasanya menerima RM50,000 sebulan ke atas.

Grafik berkenaan gaji pemain yang dikeluarkan oleh NST pada 13 April 2015

Pemain kesebelasan utama tetapi bukan pemain tetap skuad kebangsaan menerima antara RM20,000-50,000 sebulan.

Pemain skuad Piala Presiden pula menerima antara RM3,000-5,000 sebulan.

Pemain skuad Piala Belia menerima antara RM2,500-4,000 sebulan.

Umum gaji rendah elak cukai

Apabila mengulas mengenai sumber pendapatan yang tinggi, kos caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat majikan juga akan meningkat dengan mendadak. Begitu juga dengan cukai pendapatan yang turut akan dikenakan kepada para pemain.

Mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mana-mana individu dengan pendapatan tahunan yang melebihi RM34,000 selepas potongan KWSP, sudah pasti mereka akan dikenakan cukai pendapatan. Jadi, pemain bola sepak tentunya tidak akan dapat lari daripada cukai tersebut.

Keadaan tersebut menyebabkan situasi di mana gaji pemain tempatan yang tertera di atas kontrak adalah lebih rendah berbanding dengan nilai sepatutnya diterima mereka. Ia adalah bertujuan untuk mengelakkan pemain-pemain daripada dikenakan cukai pendapatan yang tinggi serta majikan juga boleh mengelakkan daripada membuat caruman KWSP lebih tinggi.

Sebagai contoh sekiranya pemain itu ditawarkan gaji bernilai RM80,000 sebulan, berkemungkinan ‘declare’ pada kontrak adalah lebih kurang RM40,000. Baki RM40,000 digelarkan oleh majikan sebagai bonus, imbuhan atau sebagainya.

Anggaran gaji pemain bola sepak tempatan yang pernah dilaporkan akhbar tempatan.

Praktis ini dilaporkan sudah menjadi perkara normal sejak era 1990-an hingga lewat 2000-an bagi pasukan untuk membantu pemain tempatan daripada membayar cukai pendapatan yang banyak.

Tapi lama-kelamaan amalan ini menjadi tidak popular. Ini kerana amalan ini membuatkan pemain susah untuk menuntut hutang gaji jika majikan mereka culas membayar gaji.

Contohnya, pemain A menerima RM80,000 sebulan. Tetapi untuk mengelak cukai pendapatan, beliau meminta majikannya untuk hanya mengumumkan RM40,000 sebagai gajinya di atas kontrak. Lagi RM40,000 akan diberi sebagai ‘bonus’ bulanan.

Apabila majikannya tidak membayar gaji, pemain A hanya boleh menuntut RM40,000 sahaja. Lagi RM40,000 tidak boleh dituntut kerana ia tak diisytiharkan dalam kontrak.

Dengan trend Persatuan Bola Sepak negeri yang semakin culas membayar gaji kebelakangan ini, ia membuatkan pemain meninggalkan amalan ini.

Gaji pemain import di Malaysia: AS$10,000-60,000

Sementara itu bagi pemain import pula, mereka kebiasaannya akan menggunakan khidmat ejen untuk urusan melibatkan gaji dan sebagainya. Pemain import ini akan dibayar mengikut nilai Dollar Amerika.

Ejen pemain import ini akan akan meminta bayaran kira-kira AS$ 10,000 hingga AS$60,000 buat pemain mereka. Sebagai contoh, Liridon Krasniqi ketika beraksi bersama Kedah pada 2018, beliau telah dibayar kira-kira AS$32,000 sebulan.

Gaji biar setimpal dengan kemampuan kelab dan persembahan

Sehubungan dengan informasi berkenaan nilai gaji ini, tidak hairanlah para pemerhati, pengamal serta peminat bola sepak tanah air amat mengharapkan mutu permainan terbaik dapat dipertontonkan oleh pemain-pemain di Liga Malaysia bagi membuktikan sumber pendapatan diterima itu sepadan dengan aksi mereka di atas padang.

Tidak kisah dalam apa jua bidang yang diceburi, sumber pendapatan yang diterima perlulah dibalas dengan hasil kerja di tahap terbaik dan begitulah juga buat para pemain bola sepak tanah air di Liga Malaysia. Barulah orang tidak mempersoalkan apa yang telah kita nikmati selama ini.

Buat majikan pula, jangan terlalu rakus dalam menawarkan sesuatu yang lumayan sehingga mengganggu ‘kantung’ pasukan dan sekaligus menimbulkan masalah yang lebih rumit di kemudian hari buat para pemain itu sendiri.

Kredit featured images: Mstar

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN