Sempena derbi antara Arsenal menentang Tottenham hujung minggu ini, sudah pasti ia akan menjadi tumpuan peminat serata dunia mengenai pertemuan sesama kelab London. Namun begitu, mungkin ada yang daripada kalangan kita tertanya-tanya, berapa banyak kelab di kota metropolitan London itu sendiri?
Di England, terdapat 5 tingkat liga yang menyaksikan kelab di peringkat nasional. Dalam kata lain, divisyen 6 (National League North & South) barulah liga peringkat zon geografi dilaksanakan. Tingkat teratas sudah pasti Premier League kemudian diikuti Championship, League One, League Two dan National League.
Berikut ditampilkan senarai serta bilangan kelab di liga nasional daripada Premier League hingga National League. Kesemua kelab itu merupakan kelab profesional.
Premier League (5 kelab)
Musim ini, Premier League menampilkan 5 kelab London yakni Arsenal, Chelsea, Tottenham Hotspur, West Ham United dan Crystal Palace. Rasanya anda semua amat mengenali kelab-kelab ini. Malah, sekiranya ada kalangan daripada kelab ini bertembung sesama sendiri, pasti media akan tetap memperkenalkan ia sebagai London derby!
Championship (4 kelab)
Anda masih ingat Queens Park Rangers (QPR) dan Fulham? Ya, mereka pada musim 2017-18 masih beraksi di EFL Championship. Selain dua kelab itu, Brentford dan Millwall juga merupakan salah kelab London yang bersaing di dalam divisyen ini.
Millwall sahaja yang berlokasi di East London. Ketiga-tiga kelab lain berpangkalan di West London. Namun begitu, pertemuan QPR menentang Fulham agak dinanti-nantikan musim ini!
League One (2 kelab)
AFC Wimbledon, kelab yang ditubuhkan oleh sebahagian penyokong Wimbledon kini beraksi di League One. Mereka dikenali di England kerana kasih sayang mereka terhadap kelab, tetapi AFC Wimbledon mempunyai rekod tidak pernah kalah 78 perlawanan liga berturut-turut! Rekod itu merupakan rekod terhebat yang dikecapi di peringkat liga domestik Inggeris.
Saingan League One musim ini juga menemukan salah satu mantan kelab Premier League iaitu Charlton Athletic. Ya, itu pun jika anda masih ingat! Kedua-dua kelab ini bertanding dalam South London derby!
League Two (1 kelab)
Barnet, sebuah kelab kecil North London yang selalu dibayangi gergasi seperti Arsenal dan Tottenham Hotspur. Namun, Barnet juga pernah mencuri tumpuan apabila melantik Edgar Davids sebagai pengurus-pemain pada beberapa musim lepas.
Sekurangnya, ada juga modal untuk menaikkan nama sendiri, bukan?
National League (4 kelab)
Leyton Orient serta Dagenham & Redbridge sebelum ini pernah beraksi dalam saingan League Two sebelum diturunkan ke National League. Dagenham & Redbridge sebenarnya kelab gabungan antara Redbridge Forest dan Dagenham. Kedua-dua kelab itu bersatu pada 1992! Kedua-dua kelab ini beradu dalam East London Derby! Tetapi, ia sering dibayangi populariti pertemuan Millwall menentang West Ham!
Sutton United dan Bromley juga antara kelab London yang beraksi dalam tangga terbawah dalam liga nasional England. Sutton United dikenali kerana bertemu Arsenal dalam pusingan kelima Piala FA musim lalu.
Bromley (pasti anda terkenangkan lagu Epilog Cinta Dari Bromley, Suhaimi Mior Hassan) merupakan salah satu kelab kecil yang beraksi di National League. Tetapi, mereka dapat menarik sekurang-kurangnya hampir 5000 penonton untuk perlawanan di stadium sendiri, Hayes Lane.
Penutup
Ya, keseluruhannya 16 kelab bertanding dalam kelima-lima lapisan liga domestik Inggeris musim ini. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi kelab yang bermain di liga-liga bawahan. Kelab-kelab liga bawahan majoritinya sama ada berstatus semi-profesional atau pun amatur.
Diharapkan artikel ini dapat membantu persoalan, banyak manakah kelab di kota metropolitan London ini sebenarnya.