Semalam Semuanya BOLA ada menyiarkan berita tentang seorang pemain, Christopher Fayers menjalani latihan di kem Terengganu FC dan telah menimbulkan persoalan mengenai status pemain itu dan adakah Lee Tuck bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan?
Kelibat pemain berusia 22 tahun itu dapat dilihat menerusi gambar sesi latihan Terengganu dan ada di kalangan para penyokong berpendapat pemain itu adalah pemain baharu Sang Penyu. Atau mungkin Lee Tuck sudah menemui dokumen yang membuktikan dirinya memiliki pertalian dengan Malaysia menerusi neneknya.
Pendapat tidak popular pula telah menyatakan Christopher Fayers mungkin pemain kelahiran Australia yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia sebagaimana Brendan Gan dan juga yang lain.
Dan, dalam aksi pemanas badan antara Terengganu dan Kelantan United pada malam tadi, sebaliknya telah berlaku. Pemain yang dikatakan adalah kacukan Australia-Indonesia itu telah tampil beraksi untuk Kelantan United – Terengganu menang 2-1.
Semuanya BOLA telah berjaya mendapatkan pengendali, Nafuzi Zain untuk memberikan pencerahan mengenai status pemain itu dan mengapa beliau berada di sesi latihan di Kuala Terengganu.
“Dia [Christopher Fayers] sebenarnya hanya sertai sesi latihan kita sahaja. Kita tidak ambil. Dia kuota pemain import dan kita sudah cukup kuota. Dia cuma hendak merasai suasana latihan,” jelas Nafuzi Zain sebaik sahaja ditanyakan mengenai perkara ini.
🏴🏳️KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN🏳️🏴
FT Terengganu FC 2-1 Kelantan United
⚽️Arif
⚽️Dominic
⚽️Gassama#Preseason2020 pic.twitter.com/9dimft0OzB— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 10, 2020
“Semalam, sebenarnya adalah sesi percubaannya bersama Kelantan United. Kelantan United masih ada kuota untuk pemain import, jadi dia mencuba nasib,” jelas pengendali berusia 41 tahun itu lagi.
“Kita tidak ambil dia. Dia cuma tumpang untuk berlatih bersama kita disebabkan dia ada sekitar Pantai Timur,” tambahnya lagi.
Ketika ditanyakan mengenai kemampuan pemain tersebut, Nafuzi Zain tanpa berselindung berkata berminat untuk merekrutnya jika Christopher Fayers ada pertalian darah dengan Malaysia.
“Christopher [Fayers] masih muda. Baru berusia 22 tahun. Tetapi dia pemain yang ada gaya, ada sizing dan ada kualiti juga.
“Kalau dia pemain naturalisasi, bolehlah kita ambil dia,” ujarnya lagi sambil memaklumkan Terengganu akan melalui Jelajah Pra-Musim di Kuala Lumpur bermula pada 13 hingga 16 Januari depan.
Kredit Foto: Terengganu FC