Pemenang anugerah Ballon d’Or 2022, Karim Benzema menghadiahkan kejayaan tersebut sebagai kejayaan bukan sekadar untuk dirinya tetapi buat rakyat.
Benzema akhirnya merangkul gelaran tersebut selepas sekian lama anugerah tersebut didominasi oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Di laman Instagramnya, Benzema hanya memberikan satu ayat sahaja untuk mendedikasikan kejayaan Ballon d’Or miliknya.
“Ballon d’Or untuk rakyat,” tulis Benzema di Instagram.
Tulisan itu sebenarnya bukanlah berbaur politik atau Benzema cuba-cuba untuk menjadi calon di mana-mana kawasan Parlimen Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 tak lama lagi.
Sebaliknya, ia ditujukan kepada asal usul dirinya sendiri dari seorang pemain muda yang pergi ke Real Madrid pada usia 21 tahun dan kini telah menempah namanya sebagai antara penyerang terhandal kelab itu.
“Bila saya bermain bola sepak, saya tak fikir untuk sedapkan hati sesiapa.
“Saya cuma berikan emosi kepada mereka. Saya tahu hari ini ramai yang bangga dengan saya dan kerana itu saya katakan anugerah ini adalah untuk mereka,” jelas Benzema.
Benzema menewaskan satu Sadio Mane dan Kevin De Bruyne yang menduduki tangga kedua dan ketiga untuk merangkul kejayaan ini.
Selain Mane dan De Bruyne, Robert Lewandoswki serta Mohamed Salah juga melengkapkan senarai lima pemain terbaik untuk Ballon d’Or tahun ini.
Sebelum Benzema, Ronaldo dan Luka Modric antara pemain-pemain Real Madrid yang berjaya mendapatkan Ballon d’Or.