Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan Sumbangsih, Piala Sultan Haji Ahmad Shah malam ini dihangatkan dengan ‘ugutan’ TMJ untuk bersara jika skuadnya tumpas.
Adakah ‘ugutan’ TMJ itu sekadar ‘gimik’ untuk menghangatkan tumpuan ke arah aksi yang bakal bermula?
Pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan di Instagram yang jika JDT tumpas kepada KL City, beliau akan tinggalkan bola sepak sepenuhnya.
Piala Sumbangsih: TMJ Undur Diri Jika JDT Tewas Kepada KL City FC?
“Jikalau kalah esok saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa apa ‘activity’ bola sepak dalam negara,” ungkap TMJ di Instagram yang tentunya mengejutkan ramai.
Dan disebabkan kenyataan tersebut, tumpuan semua kini terarah kepada sepak mula aksi Sumbangsih nanti.
Jika hendak diharapkan promosi daripada pihak penganjur Liga Malaysia (Liga M), tampak suram sehingga ada yang masih tak tahu yang malam ini secara rasminya Liga M akan membuka tirai dengan aksi Sumbangsih.
Paling menyedihkan, ada juga yang tak tahu yang perlawanan Sumbangsih sudah dipisahkan dengan aksi liga.
Ugutan atau cabaran TMJ ini dilihat lebih kepada untuk melihat respon para pemainnya yang tewas kepada KL City dalam pentas final Piala Malaysia 2021. Tewas kepada The City Boys itu adalah satu tamparan buat JDT dan TMJ – yang diakui oleh TMJ ketika ditemu ramah Astro Arena saat JDT dalam Jelajah Pra-Musim di Dubai.
Pandangan sama turut dikongsi pengendali JDT, Benjamin Mora yang berkata ia adalah cabaran buat mereka.
“Namun, jika kita amati maksud sebenar kenyataan TMJ, baginda sebenarnya ingin kemenangan. Harus diingat TMJ telah banyak berjasa kepada bola sepak Malaysia baik daripada sumbangan baginda kepada liga, kebangsaan mahupun pembangunan,” kata Benjamin Mora dalam sidang media pra perlawanan.
Dan beliau turut berseloroh yang jika TMJ mahu berundur, beliau juga akan tinggalkan pasukan – jika kalah.
“Jika TMJ mahu keluar [bersara daripada bola sepak jika tewas kepada KL City], saya pun akan keluar,” tegas Benjamin Mora yang mungkin juga satu bentuk cabaran kepada para pemain Harimau Selatan.
“Apa yang pasti, kami akan berusaha keras untuk kekalkan TMJ [dalam dunia bola sepak negara dan bersama JDT] untuk satu tempoh yang lebih lama,” tambahnya lagi yang jelas mahukan kemenangan.
Jurulatih @OfficialJohor, Benjamin Mora menegaskan beliau akan mengikuti jejak langkah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim jika pemilik kelab itu membuat keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak Malaysia.#PSAS2022 #Sumbangsih2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 25, 2022
Nada yang sama turut dikongsi pengendali KL City yang juga merupakan bekas pengendali JDT, Bojan Hodak.
“Atas padang kami akan bermain dengan sebaik mungkin tetapi kami tidak mahu TMJ meninggalkan bola sepak Malaysia. Ini kerana baginda telah banyak berjasa dan banyak melakukan perubahan bola sepak Malaysia dan kerana bagindalah industri bola sepak berkembang dan meningkat daripada sudut komersial.”
Bojan Hodak
Adakah ‘ugutan’ TMJ itu sekadar ‘gimik’ untuk menghangatkan tumpuan ke arah aksi yang bakal bermula?
TMJ memang diketahui gemar menghangatkan perlawanan yang melibatkan JDT sekiranya ada isu menarik. Masih ingat ‘perang peluru kapur’ antaranya dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum Kedah bertemu JDT di suku akhir Piala Malaysia 2021 yang lalu?