Benarkah Skuad Jerman Juara Piala Dunia 2014 Terkena ‘Sumpahan’? [Bahagian Akhir]

Jerman Piala Dunia

Bahagian akhir ini adalah mengenai empat orang penyerang Jerman yang berdepan dengan nasib yang berbeza selepas tamat kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil, tidak termasuk Mario Gotze yang telah pun diulas panjang sebelum ini.

Sejauh mana dakwaan pemain-pemain ini telah terkena ‘sumpahan’ selepas meraih gelaran juara dunia buat kali keempat?

Miroslav Klose adalah salah seorang pemain yang mengumumkan perasaraan di peringkat antarabangsa selepas meraih kejuaraan dunia dan mencapai misi untuk menjadi penjaring terbanyak Piala Dunia dengan 16 gol selepas membuat penampilan dalam empat edisi kejohanan.

Setelah menyertai Lazio dari Bayern Munich pada 2011, Klose masih kekal sebagai salah seorang penyerang prolifik di Eropah dan menjadikan beliau sebagai pilihan utama untuk disenaraikan oleh Joachim Low walaupun sudah berusia 35 tahun sewaktu kejohanan tersebut.

Dua gol semasa Piala Dunia 2014 adalah yang terakhir dalam kariernya di peringkat antarabangsa. Secara keseluruhannya beliau telah mengumpul 71 gol dalam 137 kaps bersama skuad kebangsaan Jerman menjadikannya penjaring terbanyak Jerman sepanjang zaman mengasi rekod Gerd Muller (68 gol).

Beliau akhirnya bersara pada usia 37 tahun di Lazio dan kini telah pun dilantik sebagai Penolong Jurulatih Bayern Munich untuk musim hadapan.

Habis madu sepah dibuang. Mungkin itu peribahasa yang paling tepat untuk menggambarkan nasib Thomas Muller bersama skuad kebangsaan Jerman apabila menjadi salah seorang pemain yang ‘disingkirkan’ Joachim Low ekoran prestasi buruk skuad itu semasa Piala Dunia 2018.

Pemain Bayern itu tidak dapat menyembunyikan kemarahannya terhadap jurulatih tersebut kerana mengatakan beliau dan beberapa pemain lain seperti Matt Hummels dan Jerome Boateng tidak lagi diperlukan bersama skuad negara.

Muller masih menjadi salah seorang watak penting di Bayern Munich di mana pada musim ini beliau cemerlang merekodkan 21 bantuan jaringan di Bundesliga menjadikan beliau adalah yang terbaik antara lima liga utama Eropah selain sudah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan.

Dengan Bayern sudah pun mengesahkan kejuaraan kali kelapan berturut-turut, sampai bilakah Joachim Low mampu untuk menidakkan kelayakan Muller untuk kembali bersama skuad kebangsaan?

Mungkin ramai yang tertanya-tanya di mana kelibat Andre Schurrle pada musim ini? Satu masa dahulu, hantaran ’emas’ dari kaki kirinya telah menghasilkan gol kemenangan yang memberikan kejuaraan dunia buat negaranya.

Tetapi pemain yang baru berusia 29 tahun berkenaan kini sekadar beraksi dengan Spartak Moscow, kelab yang bergelut di kedudukan pertengahan Liga Rusia.

Segalanya nampak tidak kena apabila Schurrle berpindah dari Chelsea ke Wolfsburg pada 2015 sedangkan beliau mempunyai statistik yang cukup baik di Stamford Bridge dengan menjaringkan sembilan gol dan tiga bantuan jaringan pada musim 2013/2014.

Hanya selepas satu setengah musim di Wolfsburg, Schurle kemudian menyertai Borussia Dortmund pada 2016 dengan rekod perpindahan kelab. Malangnya, beliau tidak pernah menjadi pilihan utama buat pasukan tersebut dan gagal memenuhi jangkaan yang diharapkan.

Ia mendorong pinjamannya ke Fulham pada Julai 2018, tetapi gagal membantu pasukan tersebut selepas tersingkir dari Liga Perdana Inggeris dan dipinjamkan sekali lagi ke Spartak Moscow.

Pada kejohanan Piala Dunia 2006, Lukas Podolski telah menerima anugerah pemain muda terbaik dan terus disambar kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Tetapi kariernya di Bayern tidak seperti yang diharapkan kerana sering dipinggirkan Ottmar Hitzfeld yang lebih gemar menggunakan Luca Toni untuk digandingkan dengan Miroslav Klose.

Sekalipun dengan ketibaan bekas ketua jurulatih Jerman, Jurgen Klinsmann ke Bayern, Podoski tetap gagal untuk beraksi kerap dalam kesebelasan utama pasukan dan membuat keputusan untuk kembali ke kelab lamanya, FC Cologne pada 2009 dan kembali mencapai prestasi terbaiknya.

Bagaimanapun, Podolski terpaksa sekali lagi meninggalkan FC Cologne demi kelangsungan kariernya selepas pasukan itu tersingkir dari Bundesliga pada 2012 dan mengambil keputusan untuk  menyertai Arsenal.

Secara ringkasnya, prestasi cemerlang Podolski bersama skuad kebangsaan tidak pernah berjaya diterjamahkan ketika aksi bersama Arsenal dan ia membawa kepada keputusan untuk meminjamkannya kepada Inter Milan dan kemudian dijual ke kelab Turki, Galatasaray.

Selepas tiga tahun yang penuh dengan ‘mimpi indah’ dan menjadi pujaan di kelab Jepun, Vissel Kobe, Podolski menyertai satu lagi kelab Turki, Antalyasport pada awal tahun ini dengan kontrak selama satu setengah tahun.

Dalam pengumuman nama-nama pemain bagi pencalonan untuk anugerah FIFA Best pada tahun lepas, tidak ada seorang pun pemain Jerman yang berjaya masuk ke dalam 10 pemain dalam senarai akhir.

Keputusan itu seolah-oleh menunjukkan hilangnya ‘aura’ daripada pasukan yang menjulang Piala Dunia enam tahun tahun lalu.

Dengan kemunculan beberapa pemain muda generasi baharu seperti Kai Havertz, Arne Maier, Leroy Sane, Leon Goretzka, Joshua Kimmich, Niklas Sule, Thilo Kehrer dan Timo Werner, diharapkan Jerman dapat kembali membuktikan keupayaan sebenar mereka.

Kredit Foto: Getty images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Jerman:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN