Johor Darul Ta’zim (JDT) tandatangani Jude Bellingham? Secara tiba-tiba nama bintang utama England itu muncul dalam kalangan peminat Harimau Selatan selepas pasukan tersebut menandatangani import baharu.
JDT secara rasminya semalam telah pun memperkenalkan pemain import baharu mereka untuk didaftarkan pada jendela perpindahan kedua musim 2024/2025 iaitu Eddy Israfilov.
Ianya diumumkan menerusi laman Johor Southern Tigers (JST) dan mendapat banyak komen positif dalam kalangan peminat menerusi latar belakang pemain tersebut.
Pemain yang ditandatangani itu ialah Eddy Israfilov dan beliau merupakan antara tonggak utama buat skuad kebangsaan Azerbaijan selaku perancang utama.
Menerusi data dikongsikan oleh Transfermarkt.com, pemain tersebut kali terakhir beraksi untuk Azerbaijan pada bulan Mac lalu dalam aksi persahabatan menentang Bulgaria di mana aksi berkesudahan 1-1.
Pemain berusia 32 tahun ini juga memiliki pengalaman cukup luas di Eropah dengan beberapa kelab berpengaruh pernah disertai ketika berada dalam saingan LaLiga suatu ketika.
Sepanjang di saingan LaLiga, pemain tersebut pernah mewakili Granada dan Eibar sebanyak beberapa perlawanan selain turut beraksi di pentas kelayakan UEFA Conference League (UECL).
Malah, beliau turut mencetak dua gol sepanjang mengharungi kejohanan tersebut ketika mewakili Neftchi Baku selaku pemain tengah pada beberapa musim lalu.
Melihat kepada pengalaman tersebut, maka tidak hairan mengapa nama beliau dipilih JDT untuk terus memperkukuhkan pasukan tersebut di posisi tengah serta pertahanan.
Selain itu, Eddy juga memiliki keupayaan untuk beraksi di beberapa posisi berbeza iaitu tengah bertahan, tengah menyerang, tengah kanan, serta selaku pertahanan tengah mengikut kesesuaian taktikal.
Di ruangan komen, ramai penyokong menganggap wajah Eddy mirip bintang tengah England iaitu Jude Bellingham selain tampil memberi pujian kepada tindakan pantas pengurusan JDT menandatangani pemain tersebut.
Walaupun ketika ini JDT tidak menandatangani pemain sehebat Bellingham, ianya tetap tidak mustahil untuk direalisasikan pada suatu hari nanti jika kita melihat kepada pesatnya pembangunan kelab tersebut.
Pada pandangan anda pula, adakah Eddy mampu memberi impak cukup hebat buat JDT di pentas Liga Malaysia serta kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) tidak lama lagi?