Pengendali Penang iaitu Manzoor Azwira Abd Wahid telah meluahkan rasa kecewa beliau semalam menerusi media sosial Facebook, selepas pasukan kendaliannya berjaya memperoleh kemenangan 2-0 mengatasi Kelantan United.
Menurut Manzoor, beliau menganggap pasukan kendaliannya itu musim ini masih lagi baharu dan sedar segalanya masih belum tampak bagus atau sempurna.
“Belajaqlah bersyukur, kami tak bagus lagi. Kami sedaq masih baru. Nak perfect pi sokong team yang banyak duit. Saya dah letih la. Ingat senang ka nak buat kerja dengan banyak kekangan ni,” luah Manzoor menerusi Facebook beliau.
Kenyataan itu seolah ditujukan kepada segelintir penyokong Penang yang mungkin kurang berpuas hati dengan prestasi semasa ditampilkan oleh pasukan.
Musim ini, Penang telah pun membuat rombakan baharu dengan ramai pemain tempatan serta import ditandatangani untuk memperkuatkan pasukan.
Nama-nama pemain yang bagus seperti Hadin Azman, Nik Akif Syahiran, Faris Shah, Rahmat Makasuf antara muka tempatan yang ditandangani Penang musim ini untuk memperkukuhkan kekuatan semasa kelab dalam saingan domestik.
Malah, pasukan tersebut juga antara yang terpantas mengumumkan sembilan pemain import mereka pada awal musim lalu, dengan hanya Rafael Vitor sahaja dikekalkan sejak tahun lalu.
Pastinya kehadiran ramai muka-muka baharu itu ditagih oleh pasukan untuk memberi persembahan lebih berkualiti, setelah Penang juga tampil cemerlang sejak pramusim sebelum ini dalam saingan Piala Harapan.
Apapun, wajar untuk Manzoor sendiri kecewa jika masih ada segelintir penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan.
Ini kerana, beliau pastinya memerlukan lebih masa untuk membentuk skuad lebih baik memandangkan Penang sendiri menjadi antara pasukan yang telah mengalami rombakan besar musim 2023.
Kedudukan semasa ketika ini menyaksikan Penang berada di tangga kelapan hasil tiga kemenangan dicatat daripada sembilan perlawanan dilalui kelab berkenaan.
Prestasi semasa kelab juga diikutkan berada pada momentum terbaik selepas Penang cemerlang mencatat kemenangan tiga kali berturut-turut, termasuk ketika pusingan kedua Piala FA 2023.
Walaubagaimana pun, Manzoor perlu terus bertenang serta fokus akan kerjanya sebagai jurulatih utama Penang musim ini.
Segalanya tampak lebih baik buat pasukan berkenaan menerusi prestasi semasa, dan para penyokong juga perlu sedar sebanyak mana masa diperlukan oleh Manzoor untuk kembali menjadikan Penang sebagai salah satu pasukan berpengaruh di Malaysia.