Bekas pertahanan kental Al-Nassr iaitu Alvaro Gonzalez dilaporkan bakal menjadi rekrut terbaharu Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.
Lebih menarik, Alvaro sendiri mendedahkan diri beliau sudah pun menyarung jersi kelab tersebut dengan lebih awal menerusi perkongsian dibuat oleh laman Alvaronfc21 semalam di Instagram.
Menerusi foto tersebut, Alvaro sudah pun mengenakan jersi Harimau Selatan dan berada di bilik persalinan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.
Pada pengamatan, Alvaro sebenarnya sedang terlibat dalam video pengenalan yang dibuat oleh JST sebelum laman itu memperkenalkan beliau secara rasmi kepada umum sebelum foto tersebut telah pun dipadam.
Kehadiran Alvaro sebenarnya merupakan suatu inisiatif yang terbaik dilakukan wakil kelab dari Malaysia itu dalam usaha untuk mara lebih jauh di saingan ACLE musim ini.
Rekod sebelum itu menyaksikan Alvaro sudah pun beraksi di saingan utama Arab Saudi bersama Al-Qadsiah FC sehingga ke pertengahan tahun lalu sebelum dirinya bebas tanpa mewakili mana-mana kelab.
Secara keseluruhan pula, bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu sudah terlibat 451 perlawanan sepanjang karier dan merekodkan 10 gol serta 12 bantuan jaringan.
Selain pertahanan kental itu, JDT juga dilaporkan turut mengikat dua lagi pemain baharu yang dikatakan khas untuk persaingan ACLE musim ini.
Dua pemain yang turut bakal menyertai JDT ialah Jonathan Viera serta Roque Mesa, di mana mereka juga hadir dari Sepanyol untuk memperkukuhkan kelab tersebut.
Untuk rekod, Viera sebelum ini merupakan antara pemain yang beraksi di saingan LaLiga bersama beberapa kelab terkemuka bersama rekod cukup memberansangkan.
Beraksi di posisi sayap serta tengah serangan, kehadiran Viera dilihat mampu menjadikan impian JDT untuk terus mendominasi kejohanan domestik serta Asia pada masa akan datang.
Secara keseluruhan, Viera sudah pun beraksi sebanyak 443 perlawanan dan telah merekodkan 118 gol bersama 94 bantuan jaringan secara keseluruhan.
Kelab terakhir diwakili Viera ialah Khor Fakkan dan beraksi di pentas UAE Pro League serta Viera telah pun merekodkan beberapa jaringan ketika ini bersama pasukan tersebut.
Kelebihan pemain berusia 35 tahun itu beraksi di beberapa posisi berbeza sudah tentu akan memberi kelebihan buat JDT mengatur Viera mengikut percaturan taktikal.
Sementara Mesa pula kali terakhir beraksi di LaLiga 2 bersama Sporting Gijo dan beraksi selaku perancang utama pasukan.
Pengalaman luas dimilikinya mampu membentuk JDT tampil lebih teratur untuk menyusun pergerakan ketika berhadapan kelab-kelab handalan Asia lain.