Bekas penyerang muda kebangsaan Colombia iaitu Jorge Obregon kini secara rasmi menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi saingan musim 2024/2025 di posisi hadapan kelab berkenaan.
Perkongsian secara rasmi telah pun dibuat oleh laman Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi dengan memperkenalkan video pemain tersebut menyarung jersi JDT musim ini.
Menerusi perbincangan sesama penyokong di media sosial sebelum itu, Jorge sebenarnya telah pun dikaitkan bakal menyarung jersi kelab Harimau Selatan seterusnya dengan beliau bakal mengisi posisi serangan kelab tersebut pada masa akan datang.
Melalui perkongsian dibuat oleh pemilik akaun The Croatian Lad di media sosial X, Jorge dilaporkan kini sudah pun meninggalkan kelab asalnya iaitu Rijeka dengan beliau akan menyambung karier di Malaysia.
“Jorge Obregon telah pun meninggalkan Rijeka, dengan beliau kini dilaporkan bakal menyambung karier di Malaysia.
“Rijeka bakal menerima €500 ribu untuk pelepasan penyerang Colombia itu menerusi laporan SN Reports,” ujar laman berkenaan sebelum itu.
Walaupun tidak menyatakan kelab mana bakal disertai Jorge pada masa hadapan, ramai mengandaikan beliau sebenarnya bakal menyarung jersi Harimau Selatan atas beberapa faktor utama.
Antaranya, Jorge sudah pun mengikuti akaun ejen pemain iaitu Kiko Insa serta pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (PSJ) di media sosial Instagram.
Untuk rekod, Jorge sebelum ini bersaing di kejohanan utama Croatia bersama Rijeka selama beberapa musim termasuk beraksi dalam aksi Kelayakan UEFA Conference League (UECL).
Sepanjang bersama Rijeka, pemain berusia 27 tahun itu sudah beraksi sebanyak 105 perlawanan serta meledak 17 gol bersama 10 bantuan jaringan secara keseluruhan.
Selain itu, beliau juga pernah menyarung jersi Santa Fe, Llaneros, Real Cartagena, Jaguares de Cordoba, Deportivo Municipal, serta Varazdin sebelum menyertai Rijeka.
Menerusi pengalaman serta umur Jorge kini, ia dianggap sangat sesuai untuk memperkukuhkan jentera serangan JDT sebagai pasangan kepada pemain kelahiran dari Brazil iaitu Bergson da Silva atau pelapis baharu beliau.
Malah, JDT juga boleh menjadi titik tolak baharu beliau dalam karier di Asia selepas beliau sebelum itu menghabiskan masa sebagai pemain profesional di pentas Eropah sejak awal pembangunan.
Walaupun begitu, belum ada kesahihan lebih jelas kini jika beliau akan digunakan untuk pentas AFC Champions League Elite (ACLE) atau memainkan peranan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pandangan anda?