Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Liga Perdana Inggeris merupakan liga paling popular di dunia. Fenomena liga ini menular di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dengan wujudnya beberapa kelab penyokong pasukan di liga berkenaan.
Sebagai liga yang popular dan mempunyai pengikut yang ramai serta sangat kompetitif, ianya secara tidak langsung berjaya menarik minat pemain-pemain ternama dunia untuk menyertai pasukan di Liga Perdana Inggeris.
Antara pemain yang berhijrah ke England seperti Sergio Aguero, Paul Pogba, , David Silva, Cesc Fabregas, Alexis Sanchez, Mesut Ozil dan ramai lagi, kini menjadi antara tonggak utama pasukan masing-masing.
Bagaimanapun artikel pada kali ini ingin menyentuh mengenai beberapa nama besar yang juga merupakan penyerang hebat pada satu ketika yang tidak pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris.
Antara penyerang yang termasuk dalam senarai ini ialah :
1) Ronaldo Nazario De Lima
Penyerang legenda yang memulakan kariernya di Cruzeiro ini berkelana ke Eropah untuk beraksi bersama-sama PSV Eindhoven, Barcelona, Inter Milan, Real Madrid dan AC Milan.
Beliau kemudiannya kembali ke Brazil pada tahun 2009 untuk beraksi bersama Corinthians dan menamatkan karier bola sepaknya disana, dua tahun kemudian.
Terlalu banyak kejayaan peribadi dan juga buat pasukan disertainya serta pasukan kebangsaan Brazil yang diraih pemain yang turut dikenali sebagai O Fenômeno ini.
2) Gabriel Batistuta
Legenda Argentina yang mengecapi zaman kegemilangannya ketika bersama pasukan Serie A, Fiorentina.
Pemain yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Batigol’ ini beraksi tiga musim awal di Argentina apabila mewakili Newell’s Old Boys, River Plate dan Boca Juniors. Kemudiannya beliau ke Itali untuk bersama Fiorentina.
Disitulah kariernya berkembang dan menjadikannya sebagai penjaring terbanyak buat kelab dengan 180 gol dihasilkannya.
Beliau juga pernah beraksi bersama Francesco Totti di Roma dan kemudiannya ke Inter Milan dan Al Arabi.
3) David Trezeguet
Hero Perancis yang menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan pada Kejuaraan Euro 2000 ini menikmati prestasi terbaiknya ketika di Juventus selepas berpindah dari Monaco.
Trezeguet dalam kenyataan di L’Equipe pada tahun 2007, mengatakan dia telah menolak tawaran yang dibuat oleh Manchester United dan Liverpool bagi menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama Juventus.
Walaupun tidak mempunyai skill memukau seperti Thierry Henry, Trezeguet mempunyai karakter yang hebat ketika dihadapan gol.
Trezeguet menghasilkan 178 jaringan buat Juventus sepanjang pembabitannya bersama pasukan sejak 2000 hingga 2010.
4) Francesco Totti
Legenda ulung ini hanya beraksi untuk satu pasukan sahaja dalam kariernya iaitu Roma.
Totti adalah merupakan pemain yang paling banyak melakukan penampilan dan juga penjaring terbanyak buat sejarah kelab Itali berkenaan.
Pada musim lalu, Leicester City diwar-warkan untuk membawa masuk Francesco Totti ke kelab tersebut. Namun ia hanyalah gosip perpindahan yang memeriahkan jendela perpindahan liga.
5) Raul Gonzalez
Penyerang Real Madrid yang menjaringkan 228 gol dalam saingan La Liga ini merupakan antara legenda Real Madrid yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Raul membuat keputusan untuk meninggalkan Madrid pada tahun 2010 dan beliau memilih untuk ke Jerman berbanding ke England apabila berhijrah ke Schalke 04.
Selepas dua tahun beraksi di Jerman, Raul mengembangkan kariernya ke Qatar untuk bersama Al Sadd.
Beliau menamatkan sisa perjuangannya dalam bola sepak untuk beraksi dengan New York Cosmos sebelum mengumumkan persaraan.
6) Christian Vieri
Pemain yang berasal dari Bologna, Itali ini merupakan tonggak utama buat Inter Milan selepas direkrut daripada Lazio dengan nilai £32 juta pada tahun 1999 yang juga merupakan rekod tertinggi dunia ketika itu.
Vieri membentuk gandingan mantap bersama Ronaldo dan memakai jersi nombor 32 signifikan dengan nilai perpindahannya ke Inter Milan.
Vieri berjaya berada di kedudukan pemain ke-8 Inter Milan yang menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah kelab.
Beliau kemudiannya ke musuh setempat Inter iaitu AC Milan pada tahun 2005. Selepas itu beliau terus menjelajah ke pasukan lain namun tidak pernah singgah untuk beraksi di England.