Selangor kini berjaya melengkapkan kuota import kelima mereka apabila berjaya menandatangani penyerang dari Brazil, Hyuri Henrique de Oliveira Costa bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula tidak lama lagi.
Pengesahan tersebut dibuat menerusi laman Facebook rasmi Selangor sebentar tadi dan kini pasukan tersebut mempunyai dua penyerang import yang bakal dipertaruhkan.
Sebelum ini, Selangor terlebih dahulu menandatangani Herlison Caion yang turut berasal dari Brazil yang beraksi di posisi serangan seperti Hyuri.
Hyuri yang sebelum ini pernah beraksi bersama banyak pasukan telah memulakan karier bersama pasukan Audax Rio yang berpangkalan di Brazil pada tahun 2007 hingga 2013 sebelum dipinjamkan ke kelab Botafogo pada 2013.
Bersama Botafogo, Hyuri berjaya meledak tiga gol keseluruhan daripada 17 penampilan dilakukan.
Penyerang ini melebarkan sayapnya ke Chinese League One untuk menyertai pasukan Beijing Chengfeng F.C yang sebelum itu dikenali sebagai Guizhou Renhe dan menghasilkan 16 gol daripada 53 penampilan.
Hyuri kemudian telah kembali ke Brazil bagi menyertai kelab Atletico Mineiro di Serie A sebelum dipinjamkan kelab tersebut bagi menyertai beberapa pasukan.
Kelab terakhir diwakili oleh Hyuri pada musim lalu merupakan Hatta yang beraksi di Emiriah Arab Bersatu dalam UAE Pro League dengan pemain ini berjaya meledak 8 gol sepanjang 17 penampilannya.
Setakat ini Selangor telah pun menandatangani dua pemain dari Jordan iaitu Yazan Al Arab dan Baha Abdel Rahman. Mereka juga mengikat seorang lagi penyerang dari Brazil sebelum itu, Herlison Caion serta mengekalkan Safwan Baharudin dari Singapura, dan terbaharu Hyuri Henrique dari Brazil.
Untuk pasukan ‘feeder club’, Selangor juga telah mengekalkan barisan pemain import muda mereka iaitu George Attram, Jordan Ayimbila, dan Alex Agyarkwa yang masing-masing berasal dari Ghana. Seorang lagi merupakan pemain tengah kreatif dari Myanmar iaitu Hein Htet Aung.
Selangor juga berjaya mengikat penjaga gol baharu mereka, Sam Somerville yang sebelum ini cemerlang bersama Penang serta mengambil kembali pemain pinjaman, Quentin Cheng untuk memperkukuhkan pasukan.
Dalam masa sama, pasukan lawan iaitu Pahang juga dilihat rancak dalam mempersiapkan pasukan dengan terbaharu sebentar tadi mereka berjaya mengekalkan Manuel Hidalgo yang cemerlang meninggalkan impak buat kelab tersebut pada musim lalu.