Bekas Penjaring Terbanyak Singapura Antara Rekrut Baharu Perak Pertengahan Musim Ini

Perak dilihat semakin menyerlah dari segi persiapan mereka pada jendela perpindahan kedua ini dengan terbaharu berjaya menyambar trio import baharu untuk mengukuhkan pasukan.

Setelah bermula pada awal musim tanpa sebarang kelibat pemain import dan tonggak berpengalaman tempatan, kini mereka dilihat bersedia untuk mengharungi baki saingan Liga Premier menerusi skuad yang berbeza.

Tiga import ditandatangani mereka ialah Stipe Plazibat dari Croatia, pemain dari Argentina iaitu Luciano Guaycochea, serta Sunday Kolawole Afolabi berasal dari Nigeria.

Perkara tersebut disahkan sendiri menerusi laman Facebook Perak semalam dan mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong yang mengharapkan kebangkitan mampu dicipta skuad kendalia Yusri Che Lah ini.

Walaupun begitu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi selaku Pengerusi XOX Berhad tidak mahu mendedahkan nilai perpindahan tiga pemain import tersebut dan menjelaskan kontrak mereka berjalan sehingga penghujung tahun ini sebelum diperhalusi untuk menyambung semula pada tahun hadapan.

Menurut beliau, sasaran diletakkan buat Perak kini sekurangnya untuk menamatkan kedudukan carta liga dalam kelompok lima pasukan terbaik serta layak untuk ke saingan Piala Malaysia 2022 selain mempamerkan aksi mantap dalam baki sembilan perlawanan ini.

“Ramai ejen pemain import cuba mendekati kita namun di peringkat pengurusan kita bersama dengan ketua jurulatih Yusri Che Lah buat penapisan mengikut kepada keperluan dan dari situ kita pilih tiga yang terbaik.

“Bermula dengan menguruskan hal berkaitan kewangan dan pentadbiran, kini tiba masanya pihak pengurusan memantap serta menguatkan pasukan Perak FC dengan menandatangani tiga pemain import bagi menghadapi cabaran dalam baki saingan Liga,” kata Abdul Azim menerusi Berita Harian.

Untuk rekod pemain import baharu ini, Plazibat bakal menjadi tunjang utama dalam serangan Perak musim ini dan rekod beliau sebelum itu agak menarik.

Kredit: Perak Football Club

Pada tahun 2020, pemain Croatia ini mencipta sensasi apabila muncul selaku penjaring terbanyak dalam saingan  Singapore Premier League.

Pemain tengah dari Akademi Boca Juniors ini beraksi bersama Deportivo Morón di Primera B dan pernah bermain di Turki dalam kelab Akhisar Belediyespor.

Akhir sekali, seorang lagi pemain tengah Perak dari Nigeria iaitu Sunday merupakan satu-satunya import paling muda apabila baru berusia 22 tahun.

Pada awal karier, beliau mewakili dua kelab tempatan iaitu Osun United dan Rivers United sebelum berhijrah ke Peru dan Portugal untuk mengembangkan karier dan Malaysia merupakan negara pertama buat Sunday mengambil pengalaman dalam bola sepak Asia Tenggara.

Sumber:
Berita Harian

Leave a Reply