Bekas penjaga gol Everton dan Manchester United, Tim Howard keluar daripada persaraan untuk kembali beraksi bersama Memphis 901 FC.
Howard yang kini berusia 40 tahun adalah pemilik bersama dan juga Pengarah Sukan kepada Memphis. Kelab tersebut beraksi di USL Championship, divisyen yang berada di bawah Major League Soccer di Amerika Syarikat.
Penjaga gol itu mengumumkan persaraan beliau sebagai pemain profesional pada Oktober lalu selepas tiga musim beraksi bersama Colorado Rapids di MLS.
“Saya suka bermain, dan saya suka bersaing. Ini [beraksi bersama Memphis] memberikan peluang untuk saya melakukan kedua-duanya,” kata Howard.
“Sejak persaraan saya pada Oktober lalu, keterujaan saya terhadap bola sepak terus bertambah. Keinginan untuk menang terus berada di dalam diri saya.”
Howard tampil dalam 491 perlawanan untuk Manchester United dan Everton diantara tahun 2003 sehingga 2016.
Ketika bersama Colorado, Howard pernah digantung tiga perlawanan kerana memaki penyokong.
Dalam aksi diantara Colorado Rapids menentang Sporting Kansas City, Howard telah didapati melakukan satu tindakan yang tidak sopan terhadap penyokong yang hadir ke stadium.
Situasi ini berlaku selepas beliau diserang oleh provokasi penyokong Sporting Kansas City apabila penyokong tuan rumah yang berada di belakang gol jagaan Howard menjerit kepadanya.
“Pergi balik Colorado lah!,” jerit penyokong Sporting Kansas City itu.
Jeritan penuh provokasi itu membakar hati Howard lalu dibalasnya dengan kata-kata kesat kepada penyokong itu.
“F*ck off, you motherf**ker,” itu respon balas Howard kepada penyokong tersebut yang dirakam ketika itu.
Penjaga gol tersebut turut melakukan 121 penampilan bersama Ameria Syarikat, dan beraksi di dalam dua edisi Piala Dunia.
Howard memegang rekod sebagai penjaga gol yang paling banyak melakukan aksi menyelamat di dalam satu-satu perlawanan di Piala Dunia.
Dalam perlawanan menentang Belgium pada 2014, Howard menyelamatkan 14 percubaan pemaim lawan. Aksi menyelamatnya pada ketika itu menyebabkan beliau digelar sebagai ‘Secretary of Defense’.
Beliau bersara daripada bola sepak antarabangsa pada 2017.