Menurut Flash Sukan dan beberapa sumber, bekas pengendali Sime Darby FC dan UiTM FC, Ismail Zakaria dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.
Dikenali sebagai pengendali yang mudah mesra dengan banyak pihak, Ismail dimaklumkan meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
Masih segar diingatan penulis ketika cuba menghubunginya untuk satu temu bual ketika beliau masih membimbing UiTM, beliau sangat mesra walaupun kami tidak saling kenal rapat. Malah, beliau yang menghubungi semula penulis selepas panggilan penulis tidak dijawab pada awalnya.
“Takpalah saya yang ‘call’. Lagipun awak ‘call’ tadi saya tak sempat nak angkat. Solat tadi. Ada apa Zaim?”
Masih terngiang-ngiang tutur katanya yang lembut apabila penulis serba salah pengendali itu yang membuat panggilan dan meminta kepadanya untuk benarkan penulis menelefonnya semula. Tetapi, beliau dengan tegas menolak dan katakan tidak mengapa dan kami teruskan sesi temu bual.
Di hujung panggilan, Allahyarham bertanya kepada penulis, tinggal di mana dan mencadangkan untuk berjumpa jika beliau turun berkunjung ke Kedah.
Itu antara kenangan penulis dengannya yang dilihat mesra media waima Semuanya BOLA hanyalah media online, bukan media arus perdana dan kurang mendapat tempat di kalangan pengendali di Liga Malaysia (Liga M).
Menurut menantu kepada Allahyarham di akaun Facebook, Ra Shidah, Ismail meninggal dunia di Hospital Columbia Balakong dan jenazah akan dibawa pulang dan disemadikan di Hulu Langat, hari ini.
Dalam pada itu, laman Facebook UiTM FC juga dilihat memuat naik perkhabaran tentang pemergian pengendali berusia 60 tahun itu. “Jasamu dikenang Coach, Al-Fatihah,” titip UiTM FC.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham.