Bekas pengendali Jepun, Akira Nishino telah sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Thailand seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), semalam.
Pengendali berusia 64 tahun itu telah berjaya membimbing Jepun hingga ke peringkat 16 pasukan terbaik di Piala Dunia 2018 sebelum tewas tipis kepada Belgium 2-3.
Nishino kini diberikan tanggungjawab untuk membawa Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan tugas pertamanya akan bermula pada September 2019.
Selain itu, Nishino turut dipertanggungjawabkan oleh FAT untuk membimbing skuad B-23 dalam saingan Sukan SEA 2019 dan Kejohanan AFC B-23 di halaman sendiri pada tahun depan.
Jawatan tersebut kosong sejak FAT memecat Milovan Rajevac sejurus skuad Gajah Perang tumbang 1-4 kepada India dalam saingan peringkat kumpulan, Piala Asia 2019, Januari lalu.
Sejak itu, pembantunya, Sirisak Yodyardthai memangku tugas selaku pengendali dalam baki saingan Piala Asia, China Cup 2019 dan King’s Cup 2019 yang dianjurkan oleh FAT sendiri.
“Akira Nishino bersetuju untuk menjadi ketua jurulatih Thailand serta skuad B-23 negara ini dan beliau melengkapkan beberapa tugasan yang diberikan,” memetik daripada Utusan Malaysia.
Sebelum ketibaannya, jurulatih yang pernah membimbing Gamba Osaka, Vissel Kobe dan Kashiwa Reysol ini telah dilihat berada di Thailand untuk menyaksikan beberapa perlawanan Liga Thailand.
Ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan antara True Bangkok United dan Sukhothai FC, Nishino menafikan ura-ura yang mengatakan dirinya bakal mengendalikan Thailand dalam masa terdekat dan hanya hadir menonton perlawanan sahaja.
Menurut laporan Kyodo News, dalam wawancara bersama penyiar tempatan sejurus dilantik, beliau menyatakan yang Thailand berpotensi untuk menjadi salah satu pasukan terbaik Asia.
“Ini merupakan pasukan yang telah menarik minat saya sejak kebelakangan ini. Terdapat persamaan antara gaya permainan pemain Jepun dan pasukan ini,” ujarnya.
“Saya dapat rasa banyak potensi untuk pasukan ini berkembang di masa akan datang,” tambahnya lagi dalam wawancara itu.
Menurutnya lagi, kekurangan pada skuad Gajah Perang adalah keinginan mereka untuk terus ke depan dan jika dia berjaya menyakinkan mereka, mungkin akan ada impak yang besar.
“Pasukan ini tidak akan jadi kuat dalam tempoh yang sekejap. Kita perlu pendekatan yang mantap, bukan untuk pasukan utama sahaja tetapi juga generasi yang dalam pembangunan,” jelasnya.