Roma tiada pilihan lain melainkan mengamalkan taktikal ‘parkir bas’ atau dengan kata lain ialah mengamalkan corak bertahan yang ultra (ultra-defensive) untuk memperolehi sebarang peluang ketika berhadapan dengan Lionel Messi dan Barcelona.
Demikianlah pendapat Allesio Tacchinardi (gambar bawah) yang pernah bergelar juara UEFA Champions League (UCL) bersama Juventus pada musim 1995/96.
Skuad Giallorossi berkunjung ke Nou Camp untuk menghadapi perlawanan suku akhir pertama menentang Barcelona pada awal pagi Khamis akan datang.
Roma melayakkan diri ke peringkat suku akhir setelah mengecewakan Shaktar Donesk melalui peraturan gol di tempat lawan di pusingan 16 pasukan.
Tewas 2-1 di pusingan pertama dalam perlawanan yang diadakan di Stadion Metalist, jaringan tunggal Edin Dzeko di Stadio Olimpico, Rome mengesahkan tiket untuk Roma ke suku akhir untuk pertemuan menentang gergasi Catalan, Barcelona.
Bagaimanapun Tacchinardi berpendapat ianya amat sukar sekali untuk Roma menundukkan Barcelona sekaligus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir UCL, sejak kali terakhir melakukannya pada 1984.
Ketika bercakap kepada Omnisport, Tacchinardi dipetik sebagai berkata:
“Roma langsung tidak mempunyai peluang. Musim ini Barcelona berada di tahap terbaik sejak 20 tahun yang lalu. Malah pemain simpanan mereka turut terdiri daripada pemain yang berkualiti.”
“Messi berada di tahap yang luar biasa, dan ianya adalah sukar untuk menghalang pemain ini. Jika Roma mahu melayakkan diri, mereka memerlukan dua perlawanan yang sempurna.
“Suka atau tidak, mereka harus melakukan taktikal ‘parkir bas’. Jika anda melakukan serangan dan membiarkan mereka berada 50 meter di hadapan, Barcelona akan menghukum dan membunuh perlawanan ini dengan mudah.”
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Nou Camp ialah pada November 2015, di dalam aksi peringkat kumpulan. Perlawanan tersebut berakhir dengan Roma dibelasah 6-1 oleh Barcelona.
Tacchinardi beraksi bersama Juventus di antara tahun 1994 sehingga 2007. Di dalam tempoh itu, Tacchinardi membantu skuad The Old Lady menjuarai enam kejuaraan Serie A, dan satu kejuaraan UCL.
Pemain tengah ini turut pernah tampil di dalam 13 perlawanan antarabangsa, namun tidak pernah tampil di dalam mana-mana kejohanan antarabangsa utama untuk Itali.