Bekas penjaga gol Real Madrid, Kiko Casilla menyatakan keyakinan dbahawa penjaga gol ketiga Los Blancos iaitu Luca Zidane bakal memiliki karier yang hebat di masa hadapan bersama kelab tersebut.
Luca merupakan anak kepada pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane – sebelum ini merupakan penjaga gol utama Real Madrid Castilla.
Luca telah dinaikan pangkat ke pasukan senior Real Madrid pada Januari 2019 ketika Santiago Solari menjadi pengurus pasukan.
Casilla: Luca seorang yang hebat
Sejak akhir-akhir ini, nama Luca Zidane menjadi perbincangan ramai apabila pemain itu dipercayai mampu bersaing dengan Thibaut Courtois dan Keylor Navas untuk mendapat tempat utama dalam skuad Real Madrid.
Pada aksi ke-29 La Liga, Luca diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama. Peluang tersebut berjaya dimaanfaatkan Zidane dengan membantu pasukan mencatatkan kemenangan 3-2 keatas SD Huesca.
Casilla yang pernah menjadi rakan sepasukan Luca di Real Madrid yakin bahawa pemain berusia 20 tahun itu berpotensi menjadi penjaga gawang hebat di masa depan. Beliau bercakap selepas melihat aksi cemerlang pemain itu dalam perlawanan tersebut.
“Luca layak menerima pujian yang datang kepadanya. Saya akan menjadi orang pertama yang gembira kerana dia adalah seorang yang baik dan penjaga gol yang hebat.”
“Saya fikir musim ini dia mengalami lonjakan agak jauh dari segi kematangan dan dia bermain dengan baik ketika bersama pasukan Castilla sebelum ini. Dia mempunyai sesuatu yang ada untuk menjadi penjaga gol yang hebat,” kata Casilla.
Masa depan Luca
Casilla percaya Luca akan menjadi bintang di Real Madrid di masa hadapan. Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Luca akan mendapatkan status penjaga gol hebat di kelab lain kerana persaingan sengit di pasukan Madrid.
“Masa depannya di Real Madrid, tetapi kita tidak pernah tahu. Tetapi saya pasti dia akan menjadi seorang yang hebat selama bertahun-tahun.”
“Real Madrid mempunyai organisasi jurulatih dan pencari bakat yang sangat berkualiti. Mereka melakukan tugas yang baik dan melahirkan banyak penjaga gol dengan meningkatkan kemampuan pemain untuk membaca situasi ketika mereka bertahan,” katanya.