Bekas pemain kebangsaan Czechia, Michal Jerabek dilaporkan bakal menjadi rekrut terbaharu Kelantan United untuk mengharungi saingan musim 2024/2025 dengan beliau bakal berperanan selaku pertahanan.
Ianya dilaporkan sendiri melalui wartawan Astro Arena iaitu Fadhirul Shuhaimi dengan menyatakan Jerabek sebagai pertahanan import baharu bakal disertai oleh Jerabek musim ini untuk aksi Liga Malaysia (Liga M).
“Tonggak pertahanan kelahiran Republik Czech, Michal Jerabek dijangka memperkuatkan Kelantan United FC bagi musim 2024/2025,” jelas kenyataan tersebut menerusi media sosial X milik Fadhirul.
Selain Fadhirul, menerusi pemerhatian kami juga menyaksikan Jerabek sudah pun mengikuti akaun rasmi Kelantan United di media sosial Instagram untuk menguatkan lagi faktor penyertaan beliau bersama kelab itu.
Untuk rekod, Jerabek sebelum ini beraksi dalam saingan utama di Slovakia bersama Michalovce sebanyak 16 perlawanan secara keseluruhan bersama satu jaringan serta dua bantuan gol dihasilkan beliau.
Beraksi di posisi pertahanan tengah, Jerabek banyak menghabiskan karier beliau di Eropah dan ini menjadi detik pertama buat pertahanan berketinggian 1.91 meter itu beraksi di Asia Tenggara buat Kelantan United jika ianya termeterai.
Selain itu, Jerabek juga pernah beraksi untuk skuad kebangsaan Czechia bawah 21 (B-21) ketika mereka menewaskan Slovakia dengan keputusan 1-0 menerusi satu aksi persahabatan.
Sepanjang aksi tersebut berlangsung, Jerabek telah diberi peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama dan bermain sehingga ke wisel penamat untuk memastikan pertahanan Czechia tidak dibolosi serangan lawan.
Selain Jerabek, Kelantan United sebelum ini telah pun mengumumkan ketibaan pemain kebangsaan Palestin yang beraksi di posisi tengah iaitu Oday Kharoub.
Kehadiran Oday dianggap sebagai sesuatu yang istimewa kerana pemain itu merupakan salah satu bintang tumpuan ketika aksi Piala Asia 2023 berlangsung di Qatar sebelum ini.
Ianya diumumkan sendiri secara rasmi melalui media sosial Kelantan United dan pemain itu juga sudah pun tiba untuk menandatangani kontrak secara rasmi bersama kelab tersebut musim ini.
Seterusnya, dua lagi pemain tempatan juga secara rasminya turut diperkenalkan Kelantan United untuk memperkukuhkan lagi pasukan itu menjelang saingan Liga M akan tiba tidak lama lagi.
Selepas tampil dengan sangat goyah pada musim lalu, beberapa rombakan dibuat Kelantan United terutama sekali membabitkan aspek pemain import untuk memastikan mereka mampu tampil lebih berdaya saing menentang pasukan-pasukan lain.