Bekas pemain tengah Johor FC (kini Johor Darul Ta’zim), Azizan Baba dilantik sebagai pengendali baharu skuad Liga M3, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC untuk saingan musim hadapan.
Bekas pemain yang kaya dengan pengalaman itu sebelum ini adalah pembantu jurulatih kelab tersebut dan telah dinaikkan pangkat selepas pengendali, Hamdan Mohamad yang telah memilih haluan baharu menyertai skuad Kelantan United.
SAMB FC menamatkan saingan musim lalu di Liga M3 pada kedudukan ke-9 dengan 33 mata dalam 26 perlawanan. Mereka merekodkan sembilan menang, enam seri dan 11 kekalahan.
Tetapi lebih mengagumkan adalah SAMB FC beraksi dengan mempertaruhkan sepenuhnya pemain-pemain tempatan dan bersaing dengan beberapa pasukan yang miliki pemain import.
Azizan Baba pernah beraksi bersama beberapa pasukan sebelum menggantung but pada 2016 bersama SAMB FC. Antara pasukan yang pernah mengerah kudratnya selain Johor FC adalah Perak, Kuala Lumpur, Melaka United, Sarawak dan Pulau Pinang.
Selain itu, pengendali yang buat kali pertama dalam kariernya dilantik sebagai ketua jurulatih itu pernah menjadi kapten buat beberapa pasukan antaranya ketika menyarung jersi Pulau Pinang pada 2014, Melaka United (2015) dan SAMB FC pada 2016.
Dengan pengalamannya, SAMB FC yang merupakan juara enam kali Liga Melaka pastinya mahu bersaing dengan lebih baik pada musim 2020 dan mungkin memburu kedudukan yang lebih baik.
Menurut pengurus pasukan, Fairullizam Ishak yang dipetik berkata kepada Melaka Kini, SAMB FC akan membuat persiapan bermula Januari depan, memandangkan Liga M3 2020 akan membuka tirai pada penghujung Februari, seperti mana yang diumumkan.
“Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, berkemungkinan besar pada minggu pertama dan kedua Januari nanti,” jelas Fairullizam Ishak sambil menyatakan musim depan, mereka mungkin terpaksa menagih kudrat pemain import.
“Kita boleh daftarkan dua orang pemain import secara maksimum dan tumpuan akan diberikan terhadap bahagian serangan dan pertahanan,” ujarnya sambil menegaskan import diperlukan.
“Kerana SAMB FC amat memerlukan kelebihan dari fizikal di kedua bahagian. Memang tiada masalah dengan pemain tempatan di dua posisi itu, cuma dengan manfaat pemain import nanti, peluang kita lebih cerah diikuti bonus psikologi terhadap pemain,” tambahnya.
Kredit Foto: SAMB FC