Gara-gara kerana bayaran sewa rumah tidak dilunaskan, bekas tonggak pertahanan pasukan Kelantan, Alaeddine Bouslimi terpaksa berteduh di luar rumah apabila rumah sewa yang didiaminya dikunci oleh pemilik rumah tersebut.
Menurut laporan daripada Utusan Malaysia, kejadian itu berlaku selepas pemain terbabit pulang ke rumah daripada menikmati sarapan pagi.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dikatakan gagal melunaskan bayaran sewa rumah berkenaan sehingga memaksa pemilik tersebut bertindak menguncikan pintu rumah.
Alaeddine meluahkan rasa kekecewaan beliau dalam video yang berdurasi 35 saat melalui aplikasi WhatsApps. Pemain yang berusia 27 tahun itu menyifatkan pengurusan KAFA tidak professional dan mahu pemilik rumah berurusan dengan KAFA.
“Jikalau kunci begini, macam mana saya hendak ambil barang sedangkan semuanya masih berada di dalam,” katanya.
Setakat ini pemain import dari Tunisia itu hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan bersama skuad The Red Warriors (TRW) sebelum digugurkan gara-gara gagal menepati kehendak KAFA
Difahamkan beliau masih lagi mempunyai kontrak bersama TRW sehingga akhir musim ini.
Kebajikan pemain tidak sepatutnya diabaikan oleh sebuah persatuan bola sepak yang professional. Selain daripada menguruskan perjalanan bola sepak, menyediakan tempat tinggal dan pengangkutan juga merupakan salah satu kebajikan pemain yang perlu dijaga oleh pihak pengurusan.
Jika pengurusan pasukan itu gagal menyediakan kedua-dua perkara di atas, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam pasukan tersebut. Sama ada terlepas pandang atau menghadapi masalah dari segi kewangan.