4 Bekas Pemain Bola Sepak Yang Pernah Menceburi Sukan Lain (Bahagian 1)

Pemain bola sepak

Bekas pemain bola sepak profesional luar negara kebanyakannya akan masih lagi berada dalam lingkungan bola sepak walaupun mereka sudah tidak lagi aktif beraksi. Sebagai contoh Frank Lampard dan Steven Gerrard yang kini merupakan pengurus di Derby County dan Rangers.

Bekas pemain ternama seperti Pep Guardiola dan Zinedine Zidane juga kini sedang mencurahkan ilmu yang dimiliki dengan melatih antara pasukan terbesar di dunia.

Tidak cukup dengan itu, Edwin Van Der Sar ketika ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) buat pasukan Ajax Amsterdam sambil dibantu Marc Overmars sebagai Pengarah Bola Sepak kelab tersebut.

Nama-nama yang dinyatakan adalah sebahagian daripada nama besar yang kini masih memberikan peranan yang bermakna dalam kancah bola sepak.

Namun dalam pada itu terdapat juga bekas pemain yang meninggalkan dunia bola sepak dan menceburi sukan lain, antaranya ialah:

1) Gabriel Batistuta (Polo)

Mesin gol dari Argentina ini telah menyertai sukan Polo selepas beberapa tahun beliau mengumumkan persaraan dalam bola sepak pada tahun 2005.

Legenda berusia 48 tahun ini sememangnya gemar menunggang kuda dan Batistuta berjaya menjaringkan dua gol dalam penampilan sulungnya bersama pasukan Polo Loro Piana.

Kredit foto: futbolred.com

Beliau juga mendapat bimbingan daripada pemain Polo nombor satu dunia yang juga merupakan rakan senegara dari Argentina iaitu Adolfo Cambiasso dalam membantu perkembangan bakatnya dalam sukan Polo.

Sejurus selepas perlawanan sulungnya itu, Batistuta berkata: ”Ianya sangat sukar tetapi saya harap dapat terus meningkatkan sedikit demi sedikit,” kata Batituta kepada stesen televisyen Argentina.

”Ianya sedikit menjengkelkan kerana saya tidak mampu beraksi dengan baik tetapi saya akan terus mencuba.”

Batistuta kemudiannya menjadi salah seorang daripada pemain pasukan Polo Tom Tailor yang berjaya menjuarai Coppa Stella Artois pada tahun 2009.

Tim Wiese (Ahli Gusti WWE)

Sesuatu yang luar biasa. Dari seorang penjaga gol yang tangkas, bekas penjaga gol antarabangsa Jerman dan pernah memenangi DFB Pokal bersama Werder Bremen, kini beliau merupakan seorang ahli gusti di World Wrestling Entertainment (WWE).

Pernah membarisi skuad Jerman di Piala Dunia 2010 dan Euro 2012, Wiese telah mendapat jemputan peribadi daripada Paul “Triple H” Levesque yang merupakan Naib Presiden Eksekutif Bakat WWE untuk menyertai Pusat Prestasi WWE di Orlando, Florida bagi latihan yang panjang.

Beliau melakukan penampilan pertamanya dalam WWE pada tahun 2016 dan digelar The Machine.

Tim Wiese kembali beraksi dalam satu perlawanan bola sepak apabila beliau menerima pelawaan dari rakannya yang juga merupakan pemilik kelab Divisyen 8 Jerman, SSV Dillingen. Pada perlawanan tersebut, pasukan diwakili Wiese tewas 2-1.

Jerzy Dudek (Pelumba kereta)

Penjaga gol dari Poland yang menyinar bersama Liverpool ini mengumumkan persaraannya dalam bola sepak pada tahun 2013.

Selepas itu beliau lebih banyak menghabiskan masanya sebagai seorang pelumba kereta terutamanya perlumbaan 24 jam.

”Perlumbaan kereta adalah keterujaan saya sebelum bola sepak. Saya memandu go-kart tetapi semestinya berhenti apabila saya menjadi pemain bola sepak profesional. Apabila saya berhenti bermain bola sepak, saya rindukan adrenalin yang anda perolehi ketika beraksi,” kata beliau dalam satu siri khas di LFCTV.

”Ianya (perlumbaan) sama seperti kehidupan bola sepak. Anda perlu berdisiplin, mempunyai jurulatih mengawal mental dan seseorang yang boleh menganalisis persembahan anda. Itu merupakan persamaan diantara menjaga gol dan berlumba.”

”Sekarang saya perlu mempelajari taktik mengenai kereta, mengenai trek yang berbeza. Anda memerlukan semangat dalam hidup anda untuk mengekalkan apa yang diminati. Perlumbaan kereta memberikan saya kegembiraan dan saya menyukainya.”

Paolo Maldini (Tenis)

Legenda terulung AC Milan berusia 49 tahun ini berpasangan bersama-sama Stefano Landonio dalam Astria Tennis Cup di Milan dan pasangan tersebut tewas ditangan pemain profesional, Tomasz Bednarek dan David Pel pada pusingan pertama.

Mengulas mengenai kekalahan pada perlawanan tenis profesional pertamanya, Maldini berkata: ”Ianya seperti menulis puisi selepas bertahun-tahun belajar Matematik.”

Maldini dan pasangannya tewas 6-1,6-1 kepada lawan yang jauh lebih berpengalaman dalam kancah tenis antarabangsa itu.

”Kami mencuba untuk menikmati detik ini, juga kerana saya tidak menjangkakan saya mampu untuk merasai pengalaman seperti ini pada usia 49 tahun.”

”Ianya unik dan pengalaman yang tidak boleh diulangi. Tidak akan ada pengalaman seperti ini lagi.”

”Saya mahu menjelaskan ianya hanya sekadar untuk berseronok kerana saya merupakan ahli kepada kelab ini dan Stefano bekerja disana,” jelas Maldini mengenai pembabitannya dalam sukan tenis.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN